Selasa, 17 November 2009

SPRM Tahan 605 Orang Disyaki Rasuah Sepanjang Tahun Lepas

BERNAMA


SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seramai 605 orang kerana disyaki terlibat dengan pelbagai kesalahan jenayah rasuah sepanjang tahun 2008.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata daripada jumlah itu, seramai 323 orang atau 54 peratus merupakan orang awam dan kakitangan swasta manakala 282 orang atau 46 peratus terdiri daripada pegawai kerajaan.

"Ini jelas menunjukkan bahawa terdapat perubahan yang amat besar dari segi pengukuran tahap kesedaran penjawat awam berhubung kesalahan jenayah rasuah ini," katanya pada seminar pencegahan rasuah dan pemantapan integriti perkhidmatan awam anjuran bersama SPRM dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Cawangan Negeri Sembilan yang dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Mat Ali Hassan yang mewakili Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan di sini hari ini.

Turut hadir ialah Presiden Cuepacs, Omar Osman, Ketua Polis negeri Datuk Osman Salleh, Pengarah Pelajaran negeri Datuk Abdullah Muhammad dan Pengarah SPRM negeri Zainul Darus.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah SPRM (Bahagian Keselamatan) Datuk Ahmad Khusairi Yahaya.

Dalam erti kata lain, katanya SPRM telah banyak menerima pelbagai aduan dan menjalankan siasatan ke atas orang awam dan pihak swasta yang terlibat dengan jenayah rasuah khususnya dalam melakukan kesalahan cubaan menyogok penjawat awam.

Ahmad Said berkata atas usaha kerajaan dan SPRM melaksanakan pelbagai program pendidikan pencegahan jenayah rasuah dan pengukuhan integriti termasuk mengadakan seminar seumpama ini, ianya telah menampakkan kesan yang amat positif di mana semakin ramai penjawat awam yang berani tampil melaporkan perbuatan penyogok mereka.

"Usaha memerangi jenayah rasuah memerlukan perancangan dan pelaksanaan pelbagai dasar dan program secara sistematik dan berterusan. Tahap kesedaran masyarakat mengenai bahaya jenayah rasuah ini harus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

"Kita perlu menangani persoalan integriti ini secara menyeluruh dengan menyuburkan semula nilai-nilai murni dalam segala tingkah dan tindakan kita," katanya.

Seminar itu antara lain bertujuan memberikan pendedahan di kalangan anggota perkhidmatan awam Negeri Sembilan berhubung aspek perundangan dan peraturan yang berkaitan dengan kesalahan jenayah rasuah.

Tiada ulasan: