Ahad, 15 November 2009

Sorok dadah dalam lampin pakai buang

SINAR HARIAN ONLINE


KUANTAN - Sepasang suami isteri dan seorang peniaga kedai makan antara 10 individu yang disyaki pengedar dadah ditahan hasil operasi besar-besaran pasukan polis Jabatan Siasatan jenayah Narkotik Pahang, 10 hingga 11 November lalu.

Dalam operasi selama dua hari di seluruh Pahang itu, sejumlah 364 gram heroin dan 512 biji pil kuda seberat 54.gram dengan nilai keseluruhan RM55,000 turut dirampas daripada pengedar dadah terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Yap Toon Khuan berkata, hasil operasi itu juga, sebuah kereta jenis Nissan Sunny dan wang tunai RM3,900 dirampas daripada suspek yang ditahan.

Menurutnya, hasil intipan pihaknya, sepasang suami isteri bersama dua lelaki dan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun ditahan di Kilometer 22, Jalan Jerangau-Jabor dekat sini kira-kira jam 3.15 petang, 11 November lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas kereta jenis Nissan Sunny yang dinaiki suspek, polis menjumpai 150 paket dadah disyaki heroin seberat 285 gram bernilai kira-kira RM28,500 disorok dalam kenderaan terbabit.

“Dalam cubaan mereka melepaskan diri daripada ditahan polis, berlaku satu pergelutan menyebabkan salah seorang suspek tercedera di bahagian kepala,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan ke atas suspek mendapati salah seorang daripada lelaki itu baru dibebaskan daripada perintah sekatan.

“Susulan itu, polis bertindak menyerbu kediaman suspek di Jalan Bukit Ubi di sini dan menjumpai 9 peket plastik mengandungi dadah heroin seberat 16 gram bernilai kira-kira RM1,600,” katanya.

Sementara itu dalam serbuan berasingan, seorang wanita mengusahakan kedai makan masakan panas berusia 38 tahun ditahan bersama 512 biji pil kuda hasil satu serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Kuala Tembeling, Kampung Besul dekat Jerantut, kelmarin.

“Polis percaya peniaga wanita terbabit menjalankan kegiatan pengedaran pil kuda di kawasan itu dengan berselindung di sebalik perniagaan kedai makannya.

“Berikutan penahanan wanita itu, polis merampas pil kuda yang disorok dalam lampin pakai buang bayi bagi mengelak dikesan polis,” katanya.

Toon Khuan berkata, selain pil kuda bernilai kira-kira RM20,400 itu, polis turut merampas wang tunai RM3,900 dipercayai hasil jualan dadah daripada wanita berkenaan.

Beliau berkata, dalam operasi itu juga, polis turut menahan dua lelaki berusia 28 dan 35 tahun bersama 14 paket plastik disyaki heroin seberat 23 gram bernilai kira-kira RM2,300 hasil serbuan ke atas kawasan ladang kelapa sawit, Felda Keratong 4, Bandar Tun Razak, kelmarin.

Bertindak atas maklumat, pihaknya juga berjaya menahan seorang buruh berusia 33 tahun bersama 16 peket heroin seberat 40 gram bernilai kira-kira RM4,000 hasil serbuan ke atas sebuah rumah di Felda Kekwa, Jengka 5 dekat Maran.

“Kita percayai semua pengedar terbabit memperolehi bekalan dadah daripada pembekal dari negeri jiran sebelum diedarkan kepada golongan penagih sekitar kawasan Felda.

“Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Toon Khuan berkata, pelajar perempuan berusia 11 tahun yang ditahan bersama tiga lelaki dan seorang wanita itu dibebaskan selepas diambil keterangan.

Tiada ulasan: