Rabu, 18 November 2009

Satim dihadap ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Selangor

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Datuk Mohamed Satim Diman akan dipanggil memberi keterangan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan (JKHK) Selangor.

Keputusan itu dicapai selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini meluluskan usul yang dikemukakan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (PKR - Ijok) supaya Pemangku Ketua Pembangkang itu disiasat oleh JKHK.

Ia berikutan kenyataan Mohamed Satim mengenai kesangsian rakyat terhadap Abdul Khalid yang merupakan Menteri Besar berhubung kewangan kerajaan negeri menerusi Bajet Selangor 2010.

Semasa sesi perbahasan bajet negeri 11 November lalu, Mohamed Satim didakwa mengaitkan kesangsian tersebut dengan ketidakupayaan Abdul Khalid membayar pinjaman Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) berjumlah RM66.6 juta untuk membeli 200 juta (20 peratus) saham Kumpulan Guthrie Berhad pada 1998.

Speaker DUN, Teng Chang Khim yang mengumumkan usul itu diterima memberitahu, kenyataan Mohamed Satim itu perlu dirujuk kepada JKHK bagi memastikan kesahihannya selain mencadangkan satu tindakan yang sewajarnya diambil jika ia didapati tidak berasas.

Jelasnya, DUN memutuskan Mohamed Satim perlu dirujuk kepada JKHK kerana kenyataannya iaitu Bajet Selangor 2010 yang dikemukakan dalam keadaan rakyat keseluruhannya sangsi dengan kebolehan Menteri Besar.

‘‘Maka, sekiranya didapati kenyataan (Mohamed Satim) ini tidak sahih dan tidak berasas, JKHK hendaklah mencadangkan tindakan yang sewajarnya kepada dewan ini,” katanya ketika membahaskan usul itu pada sidang DUN di sini hari ini.

Sebelum ini iaitu pada 15 Julai lalu, DUN meluluskan hukuman supaya bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo dilarang menghadiri persidangan berkenaan selama setahun dan empat lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) digantung enam bulan.

Ini kerana mereka didapati bersalah mengkritik Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

Tiada ulasan: