BERNAMA
ALOR SETAR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengarahkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif menghadiri sidang DUN negeri itu yang dijadualkan Selasa depan.
Katanya walaupun Speaker DUN, Datuk Dr Abdul Isa Ismail menganggap wakil rakyat itu hilang kelayakan sebagai ADUN namun Barisan Nasional (BN) memegang prinsip apa yang diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bahawa tiada berlaku kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hasan adalah wakil rakyat BN yang sah.
"Abu Hasan masih ahli Yang Berhormat secara sah dan speaker (DUN) tidak boleh menghalang beliau dari menghadiri sidang dewan itu. SPR umum tiada kekosongan dan tidak ada pilihan raya kecil, jadi apa kuasa speaker itu saya tak tahu," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Gunung di sini.
Muhyiddin berkata Abu Hasan harus menghadiri sidang DUN itu bagi mengetahui apa yang sedang berlaku kerana beliau masih seorang ADUN sehinggalah mahkamah memutuskan kedudukannya kelak.
Dr Abdul Isa baru-baru ini berkata beliau menyifatkan Abu Hasan bukan lagi ADUN walaupun mahkamah belum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan wakil rakyat itu.
Katanya Abu Hasan hilang kelayakan sejak 17 Ogos lepas setelah gagal menghadiri sesi DUN dua kali berturutturut yang menyalahi Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah (UTKK).
Beliau sebelum ini memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan SPR yang mengekalkan Datuk Abu Hasan Sarif sebagai ADUN kawasan Kota Siputeh.
Dewan Undangan Negeri Kedah akan bersidang mulai Selasa minggu depan bagi membentangkan bajet negeri 2010.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan