MSTAR ONLINE
PUTRAJAYA: Malaysia dan Indonesia tidak akan membiarkan isu-isu remeh yang dibangkitkan sesetengah pihak untuk menggugat hubungan di antara kedua-dua negara tetapi akan terus berusaha mengukuhkan hubungan erat dua hala yang sedia terjalin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bercakap pada satu sidang akhbar bersama dengan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono di sini hari ini, Najib berkata sementara ada pihak-pihak tertentu yang mahu menimbulkan masalah dalam hubungan di antara keduadua negara, hakikat adalah sebaliknya kerana pemimpin Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan yang akrab.
"Meskipun kita mempunyai beberapa isu yang tertangguh, ia tidak seharusnya menjadi keutamaan yang melebihi perkara-perkara baik yang dilakukan kedua-dua kerajaan untuk mengukuhkan hubungan. Kita mempunyai hubungan tradisional yang akrab seperti kunjungan antara pemimpin Indonesia ke Malaysia dan sebaliknya.
"Kita sedang melihat kepada interaksi lebih erat antara institusi seperti media dengan media, Parlimen dan Parlimen serta pertubuhan bukan kerajaan dengan badan bukan kerajaan," katanya.
Najib berkata kedua-dua mereka yang mengadakan pertemuan empat mata hari ini juga mahu program belia antara kedua-dua negara ditingkatkan manakala kerjasama ekonomi terus diperluaskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan