Hafiz Yatim
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mengumumkan keputusan saman fitnah RM100 juta Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap New Straits Times Press (M) Bhd pada 25 November depan.
Pesuruhjaya Kehakiman Harmindar Singh Dhaliwall menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam Karpal Singh yang mewakili ketua pembangkang itu serta hujah peguam NSTP, Nad Segaram.
Anwar memfailkan saman tersebut berhubung sebuah artikel dalam akhbar New Straits Times pada 2 Mac 2002, yang mendakwa Anwar menyorok RM3 bilion dalam akaun negara asing dan mempunyai kaitan dengan kepentingan Barat.
Dalam hujahnya, Karpal berkata New Straits Times (M) Press Bhd - yang menerbitkan akhbar News Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro - tidak mengamalkan 'kewartawanan bertanggungjawab'.
Oleh itu, katanya, alasan 'keistimewaan terhad' oleh NSTP adalah tidak boleh diterima.
Karpal berkata, Anwar telah memberi keterangan bahawa artikel tersebut tidak berasas, tidak benar dan menganggapnya sebagai seorang yang tidak berintegriti.
Katanya, Anwar juga telah secara terbuka mencabar kerajaan supaya menjalankan siasatan bebas terhadap tuduhan dalam artikel tersebut.
Karpal juga berkata, keterangan tersebut tidak dicabar oleh defenden dan maka oleh itu ia dianggap telah diterima.
Tambahan lagi, katanya, keterangan Anwar turut disokong oleh keterangan bekas pengarah siasatan BPR, Abdul Razak Idris dan ia menguatkan lagi kes ketua pembangkang itu.
Anwar menyaman NSTP dan bekas ketua pengarang kumpulannya, Datuk Abdullah Ahmad sebanyak RM100 juta berhubung artikel yang didakwa berunsur fitnah - 'Anwar's link to US lobbyist' - yang disiarkan pada 2 Mac 2002.
Artikal NSTP itu berdasarkan kepada satu lagi artikel - 'The Bush Administration's dubious envoy to Taiwan' - yang disiarkan dalam majalah politik mingguan New Republic edisi Mac 2002. Anwar memfailkan saman itu pada 4 Julai 2003.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan