Pendedahan kajian mengenai situasi kepimpinan parti yang tidak menyenangkan dibuat oleh Dr Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya pada seminar PAS 7 November lalu menuntut parti ini melakukan sesuatu untuk mengubah situasi.
Tidak diketahui secara mendalam mengapa terjadi demikan dan terjejasnya imej parti di mata rakyat khususnya orang muda. Sungguhpun kajian Abu Hassan boleh dipersoal dari berbagai sudut, tetapi realitinya parti harus menerima hakikat bahawa mereka dalam dilema sukar dan perlu mengubah imej dan pendekatan demi menghadapi keyakinan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Ada pendapat mendedahkan hal itu mungkin boleh dikaitkan dengan kemelut dalaman parti yang tidak berkesudahan menyebabkan rakyat dan penyokong jadi keliru dan hilang kepercayaan kepada parti dan kepimpinannya.
Ahli keliru kepada siapa sebenarnya sokongan dan kepercayaan harus dicurahkan setelah kecelaruan berterusan mengenai kehadiran mereka yang mendokong Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan mereka yang taat kepada Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Seorang kawan dari PAS yang berkedudukan di Johor Bahru menyarankan supaya presiden parti diberikan imej baru yang lebih kemas dan menyerlah untuk mengubah situasi.
Katanya, jika Umno boleh berbelanja RM2.4 juta untuk menaikkan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dengan konsep 1Malaysianya, kenapa tidak PAS melakukan sesuatu bagi mengubah dan meningkatkan imej presiden supaya kelihatan menonjol dan diterima rakyat.
Jika Najib boleh menyarankan slogan "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan," presiden mungkin boleh melaungkan tema lain yang sesuai dengan kehendak semasa dan trend pengundi muda.
Alasan lain menyebut imej dan personaliti presiden harus diberi gambaran baharu di mata rakyat dan ahli supaya nampak dinamik, penuh tenaga dan penuh idea. Ini bagi menandingi imej Najib yang sudah jauh ke hadapan - dari kaca mata persepsi umum rakyat - setelah diperkenalkan konsep 1Malaysianya.
Imej Najib melonjak mendadak dibantu publisiti semua cabang utama media kerajaan dan swasta yang agresif dan berterusan. Semua kegiatan hidup termasuk politik, pendidikan, ekonomi, sosial, budaya dan kesihatan dikaitkan dengan gagasan 1Malaysia sehingga tidak ada murid sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi dan orang muda yang tidak kenal gagasan beliau itu.
Dari sudut itu jelas imej Najib ditonjolkan sedemikan rupa sehingga semua bangsa dan keturunan sudah boleh menerima kehadiran beliau sebagai perdana menteri yang boleh menyatupadukan semua kaum. Beliau dilihat lebih berkesan dari PM sebelumnya.
Cara berpakaian dan konsep mendekati masyarakat khususnya kaum muda di bandar-bandar besar lebih sofistikated dan mencabar. Kepimpinan perlu membuat perubahan sikap dan pendekatan yang drastik bagi memikat hati pengundi muda ini kerana merekalah yang membuat keputusan negatif dalam kajian Abu Hassan itu.
Pengundi muda di bandar-bandar besar perlu didekati dengan kehendak selera mereka yang santai dan bersahaja kerana demikianlah cara hidup orang muda masa kini yang canggih.
Pada waktu sama, mereka yang berpelajaran dan berpendidikan tinggi masih menggemari dan mengkagumi pemimpin parti yang berimej Islamik dengan pakaian dan keterampilan bersahaja serta berfikiran terbuka, kritis dan boleh menerima kehadiran mereka tanpa prejudis.
Maka itu PAS harus bergerak ke arah itu kerana orang muda kini inginkan pemimpin yang berimej Islam dan pada ketika sama berpandangan jauh, berfikiran terbuka, mudah didekati dan boleh menyakinkan mereka dengan perancangan yang tinggi bagi menggerak aspirasi golongan ini yang sentiasa dahagakan perubahan dan pembaharuan. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan