Aidila Razak
Bekas setiausaha agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan menyalahkan presiden Datuk Seri Ong Tee Keat kerana wujudnya "dua timbalan presiden' dalam parti yang sedang dilanda krisis kepimpinan itu.
Beliau mendakwa Tee Keat sudahpun berbincang dengan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek lima hari selepas undi tidak percaya diluluskan terhadapnya (sebagai presiden).
Tee Keat, bagaimanapun, tidak memaklumkan perkara itu kepada mesyuarat jawatan pusat (CC) pada 15 Oktober.
Dalam mesyuarat tersebut, CC melantik Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai timbalan presiden selepas mentafsirkan jawatan tersebut kosong.
Ka Chuan berkata, hasil percakapannya dengan beberapa anggota CC, beliau mendapat tahu bahawa Tee Keat telah secara sulit menghubungi Chua untuk berbincang mengenai pelan damai.
"(Tee Keat) sepatutnya memaklumkan kepada CC mengenai rancangan pelan damai itu, dan mereka mahu berdamai... presiden adalah tidak bertanggungjawab.
"Jika ianya benar-benar satu pelan damai dan jika beliau jujur mengenainya, mengapa beliau perlu merahsiakannya?" soal Ka Chuan.
Beliau juga menyuarakan keraguannya bahawa pelan damai itu akan dapat menyelesaikan masalah dalam MCA.
"Pelan damai, sebagai satu istilah, memanglah baik, tetapi bagi saya, nampaknya ada muslihatnya," katanya.
Ka Chuan, yang sedih dengan apa yang sedang berlaku, berkata adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa mereka yang tidak menyokong pelan damai itu, juga tidak menyokong perpaduan parti.
"Ianya seolah-olah mereka cuba untuk menutup konflik yang berlaku. Tetapi jika kita tidak mahu menyelesaikannya sekarang, maka ia akan berlarutan, dan satu hari nanti menjadi semakin parah dan tidak dapat dikawal lagi," katanya.
ROS salah babitkan diri
Ka Chuan juga berkata dakwaan - bahawa mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 28 November ini, yang dipanggil oleh puak Liow "hanya membazirkan sumber dan membebankan perwakilan" - adalah mengelirukan.
"(Masalah yang timbul) bukan disebabkan oleh 16 orang yang memanggil EGM tersebut, tetapi oleh mereka yang tidak menghormati keputusan EGM (10 Oktober lalu)," katanya.
Tegasnya, keputusan yang dibuat oleh EGM (10 Oktober) adalah sah di segi moral dan undang-undang.
"EGM adalah seperti mahkamah paling tinggi dalam parti. Kedua-duanya - presiden dan timbalan presiden - tidak menghormati keputusannya," kata Ka Chuan lagi.
Beliau juga merasakan tindakan mengheret Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam perkara itu adalah satu kesilapan.
"Mereka hanya sebagai pemantau dan tidak harus membabitkan diri dalam perkara parti apabila semua saluran yang ada, belum lagi diterokai sepenuhnya," katanya.
Antara saluran yang belum diterokai, katanya, ialah EGM pada 28 November dan mesyuarat agung tahunan (AGM) pada 5 Disember depan.
"Ia mungkin menyukarkan perwakilan tetapi keadaan sekarang memerlukannya. Ianya umpama pilihan raya kecil, sesuatu yang tidak boleh dielak, kita tidak harus melepaskan hak kita untuk mengundi," katanya.
Menurutnya lagi, tindakan membawanya kepada ROS menunjukkan bahawa pucuk pimpinan sudah tidak dapat memikirkan pilihan yang ada dan tidak mampu menyelesaikan masalah parti.
"Ia juga menunjukkan kurangnya moral politik. Ianya umpama bila saya tidak gembira dengan keputusan satu mahkamah, maka saya membawa perkara itu ke mahkamah yang lain... pucuk pimpinan tidak ada integriti," katanya.
Ditanya sama ada kenyataannya bermakna beliau menentang Tee Keat dan menyertai kumpulan Liow, Ka Chuan berkata: "Saya tidak memihak kepada sesiapa. Pendirian saya adalah untuk parti".
"Individu datang dan pergi, tetapi parti mesti (kepentingan parti) di atas segala-galanya," tambahnya.
Beliau juga menegaskan bahawa keputusan mengenai siapakah yang harus menjadi presiden dan timbalan presiden hendaklah diserahkan kepada perwakilan.
"Pada pandangan saya, kedua-dua timbalan, dan presiden hendaklah dipilih oleh perwakilan (melalui EGM atau AGM) dan bukannya oleh mana-mana jawatankuasa yang lebih kecil daripadanya, contohnya CC," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan