Khamis, 12 November 2009

117 penternak ikan rugi dakwa JPS lepas air kotor

BERNAMA


TUMPAT: Kira-kira 117 penternak ikan dalam sangkar di kawasan laguna Pantai Sri Tujuh, di sini mendakwa terpaksa menanggung kerugian hampir RM500,000 selepas ternakan mereka mati sejak Isnin lalu.

Penternak, Yaakob Kasim, 72, berkata beliau mula menyedari ikan peliharaannya mati pada pagi Isnin lalu.

“Ikan yang diternak dalam 46 sangkar kelihatan timbul di permukaan seolah-olah tidak cukup oksigen,” katanya kepada pemberita di sini.

Yaakob berkata, beliau terpaksa menanggung kerugian hampir RM12,000 apabila sejumlah 700 kilogram ikan jenis siakap dan kerapu yang dipeliharanya mati.

“Tak sempat nak jual. Ada sebahagian yang sempat dijual, tetapi dengar harga murah sekitar RM5 sekilogram berbanding RM17 bagi ikan segar,” katanya.

Beliau mendakwa kematian ikan penternak disebabkan oleh pelepasan air banjir dari tali air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Air yang dilepaskan dari tali air kotor dan bertoksik menyebabkan ikan peliharaan kami kekurangan oksigen dan mati,” katanya.

Seorang lagi penternak, Abdul Ghani Shafie, 38, berkata beliau cuba menyelamatkan sebahagian ikan peliharaannya dengan mengepam air di dalam sangkar untuk menambah oksigen.

“Terpaksa cuba cara ini, tetapi tidaklah menjamin 100 peratus ikan akan terus hidup,” katanya yang terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM30,000.

Abdul Ghani berkata, sepatutnya pihak JPS memaklumkan terlebih dulu kepada penternak sebelum membuka pintu air supaya penternak boleh bersedia.

“Pihak JPS terus buka pintu air menyebabkan kami terpaksa menanggung kerugian. Kerugian mungkin meningkat lagi kerana air dari tali air JPS masih keluar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Laguna Sri Tujuh, Yusof Mamat, berkata JPS atau Jabatan Perikanan perlu melakukan sesuatu bagi mengurangkan kerugian yang dihadapi penternak ikan di kawasan itu yang dialami hampir saban tahun.

Tiada ulasan: