BERNAMA
SETIU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said bersedia menerima apa sahaja keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kedudukannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.
Beliau berkata, apa jua keputusan yang diumumkan oleh pucuk pimpinan berhubung kedudukan beliau kelak, akan diterimanya dengan hati terbuka kerana ia adalah hak Najib sebagai Presiden Umno.
Ahmad berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat rumah penduduk kampung yang dilanda ribut di Kampung Penarik, dekat sini hari ini.
Ditanya sama ada beliau risau mengenai perkara itu, Ahmad yang memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri pada Mac tahun lepas, berkata: "Risau apa... tidak ada masalah kepada saya."
Beliau bagaimanapun enggan mengulas hasil pertemuannya dengan Perdana Menteri baru-baru ini dipercayai berkaitan kemelut politik di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) di negeri itu yang tidak menghadiri hari kedua Sidang Dewan Undangan Negeri.
Pada 16 April lepas, Ahmad mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya bagi membincangkan perkara itu.
Bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh juga kelihatan memasuki Pejabat Perdana Menteri pada hari yang sama dipercayai sebagai langkah Najib dan Muhyiddin menyelesaikan pertikaian antara Ahmad dan Adun BN negeri berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan