UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR – Perlembagaan UMNO akan dipinda pada perhimpunan agung khas hujung tahun ini yang akan menyentuh kaedah dan proses pemilihan secara lebih telus, terbuka dan demokratik.
Perkara itu dipersetujui oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bermesyuarat buat pertama kali hari ini selepas pemilihan parti Mac lalu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat itu berkata, sebuah jawatankuasa juga telah ditubuhkan untuk mengendali cadangan berhubung pindaan dan perubahan tersebut.
“Cadangan perubahan ini akan dibawa untuk pertimbangan MT sebelum dibawa ke perhimpunan agung khas dalam tahun ini,” katanya.
MT pada mesyuarat hari ini juga kata Najib, turut mengambil kira perubahan-perubahan yang telah diumumkan oleh kerajaan dengan beliau memberi penjelasan mengenai dasar liberalisasi serta pembubaran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
“Majlis Tertinggi faham kenapa keputusan perlu dibuat, ini bukan bererti kita ubah sesuatu dasar dan komitmen kita tetapi adalah satu usaha untuk mengelakkan pertindihan antara tugas-tugas kementerian supaya lebih fokus, tetapi dasar kementerian berkenaan akan kita teruskan,” jelasnya.
Najib berkata, beliau juga telah menerangkan bahawa dasar liberalisasi tidak dibuat secara mengejut.
Sebaliknya jelas beliau, satu kajian mendalam telah dilakukan selama dua tahun oleh timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menerajui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Katanya, selepas Muhyiddin berpindah kementerian, ia diambil alih oleh Datuk Mustapa Mohamed yang telah membawanya ke pertimbangan beliau dan Exco Majlis Ekonomi.
Beliau berkata, setelah diteliti secara mendalam, MT berpuas hati bahawa perubahan yang dilakukan terhadap dasar itu adalah baik dan boleh diterima semua pihak termasuk kaum bumiputera yang terlibat dalam 27 subsektor berkenaan sebelum pengumuman mengenainya dibuat.
Katanya, dasar liberalisasi adalah sejajar dengan perubahan yang dilakukan di setiap negara ASEAN dan Malaysia merupakan yang terkebelakang sekali membuka sektor perkhidmatannya berbanding negara serantau lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan