BERNAMA
KUANTAN: Kembar Siam perempuan berketurunan Orang Asli yang dilahirkan dalam keadaan pra matang di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada Jumaat lepas, meninggal dunia pada 5.35 petang tadi akibat kegagalan pernafasan.
Perkara tersebut disahkan Pengarah HTAA, Datuk Dr Ardi Awang.
Ibu bayi berkenaan Sina Awang, 20, berkata sebelum bayi kembar itu menghembuskan nafas terakhir, dia diminta oleh doktor untuk berada di sisi anaknya.
"Sebelum meninggal mereka ada bergerak sikit-sikit tapi doktor hanya bagi dukung selepas mereka sudah tiada," katanya kepada pemberita yang ditemui dalam keadaan hiba di sini.
Katanya, kedua kembar Siam yang dicadang untuk dinamakan Ayi dan Beyie itu akan dibawa pulang ke kampung halaman mereka di Batu 8, Kuala Rompin malam ini sebelum dikebumikan pagi esok.
Bayi seberat 3.25 kilogram yang dilahirkan selepas 25 minggu berada dalam kandungan ibu mereka bercantum pada bahagian atas pusat hingga ke tengah dada dan dilaporkan hanya bahagian hati didapati bercantum manakala bahagian organ lain masih dalam pemerhatian.
Kedua-dua bayi berkenaan diletakkan di bawah penyeliaan doktor pakar kanak-kanak HTAA dan dicadang dirujuk ke Hospital Selayang atau Hospital Kuala Lumpur sekiranya menunjukkan tanda keadaan yang kompleks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan