Abdul Rahim Sabri
Majlis Permuafakatan Ummah (PEWARIS) akan berbincang mengenai jemputan untuk mengambil bahagian dalam debat mengenai ISA anjuran Gerakan Mansuh ISA (GMI) pada 9 Mei depan.
Timbalan Pengerusi 11 PEWARIS, Rahimuddin Md Harun berkata jawatankuasa badan bukan kerajaan itu akan mengadakan perbincangan itu secepat.
Beliau membayangkan keputusan sama ada menerima jemputan tersebut akan diketahui sama ada hari ini ataupun esok.
"Saya secara peribadi bersedia menerima jemputan tersebut. Kita nak beranjak buat apa? Itulah yang kita perjuangkan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.
Debat bertajuk 'Debat ISA: Haram atau Halal?' akan diadakan di Auditorium Dewan Sivik MPPJ mulai jam 3 petang.
Menurut kenyataan GMI semalam, PEWARIS dijemput untuk mempertahan ISA ekoran dakwaannya bahawa ISA diperlukan untuk mempertahankan Islam.
PEWARIS menyifatkan diri sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan Islam di negara ini dan berkecuali dari mana-mana fahaman politik.
Selaras dengan semangat kebebasan bersuara, GMI berhartap PEWARIS akan menerima jemputan tersebut.
Menjawab soalan, Rahimuddin berkata, beliau secara peribadi tidak ada masalah dengan tajuk yang dipilih bagi debat tersebut.
"Tetapi bagi pihak PEWARIS, kita kena minta komen daripada rakan-rakan kita," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan