Mat Zain Mat Isa
INGAT lagi dengan saranan Dato' Seri Syed Hamid Albar baru-baru agar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dimansuhkan? Sewaktu melontarkan cadangan itu, 7 April lalu, pemimpin itu masih bergelar Menteri Dalam Negeri. Kini, apa sudah jadi dengan cadangan yang sangat baik itu?
Apakah semata-mata kerana orang yang membuat gesaan itu sudah tidak menjadi anggota kerajaan, maka apa jua yang pernah disuarakannya tidak perlu diambil pusing lagi oleh kerajaan?
Akta tidak relevan lagi
Dalam kenyataannya itu Syed Hamid mencadangkan kepada kerajaan supaya memansuhkan dua akta yang disifatkannya sudah tidak relevan. Selain Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, satu lagi akta dimaksudkannya ialah Akta Kediaman Terhad 1953.
Beliau turut menyebut tiga akta yang perlu dikaji secara mendalam. Akta-akta dimaksudkan ialah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat 1969 dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 (LLPK).
Saranan tersebut dilihat amat kena pada tempatnya dan tepat pada masanya. Kelima-lima akta tersebut adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dipimpinnya ketika itu. Secara logiknya, beliau adalah orang paling memahami berkenaan kesesuaian peraturan-peraturan disebutkan itu dan paling layak untuk memperkatakan mengenainya.
Ia juga kena pada masanya. Sepertimana diakui Syed Hamid sendiri ketika itu, pemansuhan dan penilaian semula akta-akta itu akan dapat memenuhi gagasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam mewujudkan Satu Malaysia.
Bergerak lebih bebas
Baginya, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan boleh dimansuhkan bagi membolehkan syarikat-syarikat penerbitan bergerak lebih bebas sejajar dengan tuntutan rakyat masa ini.
"Rakyat tidak suka akta itu, syarikat-syarikat media pun tidak suka akta itu," katanya, sebagaimana dipetik akhbar, 8 April.
Meskipun agak mengejutkan pengamal media, keterbukaan pemimpin kerajaan itu dilihat sebagai satu penafsiran dan penghuraian lanjut atas prinsip lebih liberal yang cuba secara zahirnya ditunjukkan Najib.
Dua hari sebelumnya, Najib mengajak media bersama-sama kerajaan membentuk wacana nasional baru berasaskan prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban, berkhidmat untuk semua, bukan kelompok tertentu serta menghormati dan adil terhadap pandangan rakyat.
Media bertaraf dunia
Pada majlis Malam Anugerah Wartawan Institut Akhbar Malaysia - Petronas 2008 di ibu negara, 6 April, Najib menegaskan negara memerlukan media bertaraf dunia yang membuat laporan berdasarkan fakta dan sentiasa bersikap adil dan bertanggungjawab.
"Media hanya memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat jika ia melangkaui laporan cetek, menyoal penyebar khabar angin, tidak menyokong berita palsu dan melaporkan kebenaran yang disertakan keterangan, tidak kira sama ada ia membantu kerajaan atau tidak," katanya.
Beliau juga berkata, dalam usaha membentuk demokrasi yang dapat memberi maklum balas kepada rakyat, negara memerlukan media yang diberi kuasa untuk melaporkan apa yang dilihat, tanpa rasa takut terhadap akibatnya.
Kenyataan yang pada zahirnya sangat terbuka itu, dinilai bersama dengan tindakan Najib beberapa hari sebelumnya yang menarik balik penggantungan permit penerbitan dua akhbar milik parti pembangkang, Harakah dan Suara Keadilan, sedikit sebanyak menghasilkan tanggapan bahawa uslub kongkongan media diamalkan kerajaan sebelum ini sudah beranjak.
Apa lagi yang dapat ditafsirkan dari kalimah-kalimah 'tanpa rasa takut terhadap akibatnya' dan 'tidak kira sama ada ia membantu kerajaan atau tidak'? Bukankah itu isyarat keterbukaan dan kebebasan media?
Era baru lebih terjamin
Sebab itu apabila dua hari berikutnya tersiar pula cadangan Syed Hamid agar akta yang selama ini dilihat menjadi kongkongan utama kepada media dimansuhkan, rakyat bagai diyakinkan bahawa kebebasan media sudah memasuki era baru lebih terjamin.
Malangnya, belum sempat prinsip keterbukaan Perdana Menteri itu disebarluas dan disambut baik rakyat, sudah ada media arus perdana melontarkan kebimbangan atas keterbukaan itu.
Minda Pengarang sebuah akhbar memilih untuk menyorot prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban dimaksudkan Najib itu dari perspektif berbeza.
"Meskipun ini satu pembaharuan kebebasan bersuara melalui media, wujud semacam budaya baru penyebaran khabar angin sama ada oleh wartawan akhbar politik atau penulis blog yang berselindung di sebalik kebebasan itu," tulisnya.
Sebar khabar angin
Oleh kerana yang mengulas itu adalah media arus perdana, maka seolah-olah ia cuba membentuk satu persepsi kononnya media alternatif lebih cenderung menyebar khabar angin dan tidak mengemukakan laporan secara telus dan bertanggungjawab.
Lalu, justifikasi yang digubal sendiri oleh media tersebut menjuruskannya kepada kesimpulan betapa perlunya beberapa akta disebutkan Syed Hamid tadi dikekalkan.
"Kita akui pelbagai akta boleh diguna pakai untuk membendung masalah ini (laporan tidak bertanggungjawab) daripada terus berleluasa seperti Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan banyak lagi," tegas pengarang itu.
Cadangan bernas Syed Hamid tinggal begitu sahaja
Secara tidak langsung dapat disimpulkan di sini bahawa pandangan para pengamal media sendiri sudah bercanggah terhadap prinsip kebebasan media. Penerimaan berbeza terhadap akta yang dinilai oleh Syed Hamid sebagai tidak relevan itu juga menyulitkan kerajaan untuk menilainya semula. Itu pun jika ia benar-benar ada hasrat ke arah itu.
Kini Syed Hamid sudah tidak lagi menjaga KDN. Bahkan dia tak ada pun dalam Kabinet lagi. Setakat ini tidak nampak cadangannya mengenai pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan itu cuba diteruskan penggantinya.
Makanya, segala peraturan di bawah akta itu yang mengongkong kebebasan media masih kekal membelenggu syarikat-syarikat media. Itu juga bermakna kalimah 'tanpa rasa takut terhadap akibatnya' yang diucapkan Najib masih belum dapat direalisasikan sepenuhnya._
Tiada ulasan:
Catat Ulasan