Selasa, 21 April 2009

Raja Nazrin bimbang trend penulis buku burukkan individu tertentu

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini melahirkan rasa bimbang terhadap trend penulis buku di negara ini yang lebih gemar menghasilkan buku politik memburuk-burukkan individu tertentu.

Menurut baginda berlaku trend popular menghasilkan bukubuku politik berunsur destruktif, berlandaskan matlamat jangka pendek politik dan komersial, memilih tema penulisan untuk memburukburukkan individu tertentu, diterbitkan secara bermusim yang berkait rapat dengan takwim perjalanan organisasi politik tertentu dalam negara.

"Trend sedemikian jika terus berkembang, dibimbangkan akan membina satu budaya penulisan yang tidak sihat, budaya penulisan yang menyuburkan budaya fitnah, budaya penulisan kurang beretika yang sanggup mengetepikan fakta, dan budaya penulisan yang akan membawa pengaruh negatif dalam perkembangan minda warga," titah baginda ketika melancarkan buku bertajuk "Keberanian Menggapai Harapan".

Buku tersebut adalah terjemahan buku "Audacity of Hope" oleh Presiden Amerika Syarikat Barack Obama. Alih bahasa dibuat oleh Institut Terjemahan Negara.

Menurut Raja Nazrin budaya penulisan sedemikian pastinya akan merugikan bangsa dalam jangka masa panjang berbanding dengan apa juga keuntungan singkat yang bermotifkan matlamat sempit kumpulan atau individu tertentu.

Raja Nazrin juga bertitah baginda telah dimaklumkan bahawa Institut Terjemahan Negara sedang melaksanakan projek terjemahan karya-karya agung Malaysia dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris, dan antara karya agung yang sedang dalam terjemahan ke bahasa Inggeris adalah Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Raja Pasai, Tuhfat al-Nafis, UndangUndang Melaka dan Undang-Undang Laut serta Cerita Lipur Lara.

"Karya-karya agung yang telah dihasilkan itu adalah satu cerminan ketinggian budaya, satu modal sosial negara bangsa yang amat bernilai. Terbukti dari kandungan karyakarya agung itu bahawa bangsa Melayu adalah bangsa yang memiliki budaya yang tinggi, memiliki tamadun yang agung serta lengkap dengan adab, tertib, budi dan bahasa baik dalam kehidupan harian, baik dalam hubungan antara Raja Pemerintah, ulama, pembesar, pemimpin, pedagang, pemimpin dan rakyat, begitu juga dalam sistem berkerajaan dan bernegara yang berlandaskan hukum bertiangkan adat," titah Baginda.

Menurut Raja Nazrin bangsa yang telah memiliki ketinggian budaya dan keagungan tamadun itu kemudiannya menerima nasib dihanyutkan oleh arus kolonialisme hingga majoriti mereka terpinggir dalam arus pembangunan yang kemudiannya berlangsung dalam budayanya.

"Betapa tercatat dalam karya agung itu akan kehebatan dan kebanggaan bangsa yang kemudiannya musnah akibat persengketaan sesama bangsa. Betapa perebutan wilayah dan perebutan negeri yang berlaku sesama bangsa, betapa hasad dengki, iri hati, cemburu dan fitnah, betapa sifat tamak sifat haloba, dan betapa perebutan kuasa di alam Melayu ini, kesemuanya menjadi punca memberi ruang memudahkan berlakunya proses kolonialisme.

"Dan akhirnya, betapa harga sosial, harga politik, harga budaya dan harga ekonomi yang perlu dibayar oleh bangsa akibat dilanda arus kolonialisme. Akhirnya tanah air terjajah, bangsa menerima nasib malang dipinggiri dan disisihkan di bumi warisan bangsanya; lalu bangsa menerima nasib laksana ayam yang lapar di kepuk, laksana itik yang haus di air," titah Baginda.

Mengenai Obama, Raja Nazrin bertitah bertitahbahawa ternyata Presiden Amerika Syarikat itu cekap menggunakan instrumen komunikasi moden secara bijak untuk mendampingi minda, hati dan emosi rakyat Amerika lalu mendapat kepercayaan untuk dipilih menjadi Presiden mereka.

"Secara teratur atau secara kebetulan, Barack Hussein Obama telah membina prasarana laluan politik untuk sampai ke Rumah Putih. Beliau telah memilih laluan yang melepaskan beliau di setiap perhentian tol. Perjalanan politik yang beliau pilih telah dapat diterima oleh majoriti besar masyarakat Amerika," titah Raja Muda Perak.

Menurut baginda, Obama adalah anak yang telah besar dan dewasa mengikuti sistem pendidikan arus perdana di Amerika Syarikat, bertutur dalam bahasa dan mengamalkan cara hidup berlandaskan budaya yang diamalkan oleh majoriti penduduk Amerika, memilih menganut agama Kristian, agama yang dianuti oleh majoriti rakyat Amerika walaupun datuknya Hussein Onyango Obama telah memeluk agama Islam dan bapanya Barack Hussein Obama Sr. telah dilahirkan dalam keluarga Islam.

"Kesimpulannya, Barack Hussein Obama dalam segala segi adalah seorang warga Amerika sejati dan memperlihatkan sifat sejati warga Amerika berpegang kepada prinsip di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung," titah Baginda.

Tiada ulasan: