Lanjusoh
KOTA BHARU - Kerajaan dicadang mengubal akta anti culik bagi memastikan tiada wakil rakyat 'dilari dan disembunyikan' lagi pada masa hadapan sehingga boleh meruntuhkan sebuah kerajaan.
Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, akta seumpama itu lebih perlu berbanding akta bagi menghalang wakil rakyat meletak jawatan seperti dicadangkan ramai pemimpin Umno.
"Mana baik meletak jawatan secara terhormat atau menculik wakil rakyat dan kemudian memaksa mereka menyokong parti tertentu sehingga menyebabkan sebuah kerajaan tumbang.
"Itulah realiti yang berlaku di Perak sekarang sehingga kerajaan Pakatan Rakyat tumbang melalui rampasan kuasa. Kalau ada akta anti culik sudah perkara seperti itu tidak berlaku," katanya ketika dihubungi di Makkah hari ini.
Pada Febuari lalu tiga bekas wakil rakyat Pakatan Rakyat di Perak 'diculik' dan kemudian muncul bersama Dato' Seri Najib Razak di Putrajaya dengan membuat kenyataan menyokong BN.
Mursyidul Am PAS itu mempersoalkan mengapa pemimpin Umno sibuk sangat dengan cadangan undang-undang anti meletak jawatan sedangkan peraturan anti culik lebih penting.
Sebelum ini pemimpin Umno mencadangkan diwujudkan satu mekanisme dari segi penggubalan undang-undang atau badan pemantauan bagi mengelak wakil rakyat meletak jawatan sewenang-wenangnya.
Ketua Puteri Umno, Dato' Rosnah Abdul Rashid Shirlin dilaporkan berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan berlakunya pilihan raya kecil yang semakin kerap diadakan akhir-akhir ini.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, taraf Umno sekarang seumpama wakil rakyat Bebas apabila belum memutuskan sama ada mahu bertanding atau tidak pada pilihan raya kecil Penanti, 31 Mei depan.
"Umno memiliki kerajaan yang besar tetapi sikap pemimpin mereka seperti wakil rakyat Bebas kerana belum pasti hendak bertanding atau tidak," katanya.
Baru-baru ini Perdana Menteri menyebut BN akan meneliti sama ada mahu menyertai pilihan raya kecil di Dun Penanti atau sebaliknya.
Pilihan raya kecil tersebut akan diadakan 31 Mei depan ekoran perletakan jawatan Mohamad Fairus Khairuddin yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.
Menteri Besar bersama isteri, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak berada di Makkah bagi mengerjakan umrah lebih seminggu lalu. Keadaannya sihat dan dapat mengerjakan umrah dengan baik.
Beliau juga turut menyampaikan salam kepada seluruh rakyat Malaysia dan mendoakannya supaya dapat melakukan ibadat dengan sempurna dan selamat kembali ke tanah air.
Beliau dijangka pulang ke Malaysia pada 3 Mei ini. - mj _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan