Isnin, 27 April 2009

Tanding Penanti: Biro Politik Umno temu waktu terdekat

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PUTRAJAYA: Biro Politik Umno akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi menentukan sama ada wakil parti itu akan bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang.

"Nantilah, kita akan bermesyuarat dalam sedikit masa lagi," kata Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi Biro Politik Umno pada sidang akhbar mengenai langkah kerajaan meliberalisasi sektor kewangan, di sini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas status Umno dan Barisan Nasional sama ada akan bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan sama ada BN akan bertanding pada pilihan raya kecil kawasan Penanti akan ditentukan oleh Najib.

Menurut Muhyiddin, Najib akan mengadakan perbincangan dengan Biro Politik parti yang dipengerusikannya dalam tempoh terdekat ini sebelum mengambil keputusan tentang perkara itu.

"Sebagai Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden Umno, Perdana Menteri akan berbincang dengan Biro Politik dalam tempoh terdekat ini dan akan membuat keputusan yang sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Minggu Saham Amanah Malaysia 2009 di Plaza Angsana di Johor Bahru hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti, Pulau Pinang pada 23 Mei ini, dan jika ada pertandingan hari mengundi pada 31 Mei.

Kerusi DUN Penanti itu kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin, 33 daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 16 April lepas.

Fairus sebelum ini turut meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang berikutan dengan tuduhan terlibat dengan rasuah.

Khamis lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaimanapun menjelaskan ia tidak ada asas untuk mendakwa beliau.Pada pilihan raya umum tahun lalu, Fairus memenangi kerusi tersebut dengan 7,346 undi menewaskan calon BN Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219 undi.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno turut ditanya tentang pandangan daripada pelbagai pihak termasuk daripada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Umno Bahagian Permatang Pauh yang mahukan BN bertanding pada pilihan raya kecil DUN Penanti itu.

"Kita akan mengambil kira semua pandangan," jawab beliau.

Selain pandangan mahukan BN bertanding pada pilihan raya kecil DUN Penanti itu, terdapat juga pihak yang berpendapat parti tidak perlu bertanding untuk mengelak daripada terlibat dalam permainan politik pembangkang.

Tiada ulasan: