Isnin, 27 April 2009

Bebas 13 tahanan ISA langkah popular bersifat sementara

Zuharman MN


KOTA BHARU - Dato' Seri Najib Razak dianggap mengikut jejak yang pernah diambil bekas Presiden Mesir, Anwar Sadat membebaskan semua tahanan Ikhwan Muslimin ketika baru mengetuai kerajaan Mesir.

Perdana Menteri baru Malaysia juga membebasan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan politik yang dilakukan Najib hampir sama dengan Anwar Sadat di Mesir sebagai langkah popular hanya bersifat sementara.

"Itu hanya satu lakonan sementara ketika menghadapi pilihan raya kecil baru-baru ini.

"Kita minta bukan 13 orang yang dibebaskan tetapi semua tahanan ISA dan akta itu juga perlu dihapuskan. Sekiranya tindakan itu diambil barulah menyamai tindakan Anwar Sadat," katanya pada ceramah di pekan Melor, baru-baru ini.

Bagaimanapun menurutnya Anwar telah meroboh penjara di Kaherah selepas tahanan Ikhwan Muslimin dibebas.

"Jika Najib ikhlas beliau juga perlu mengikut cara tersebut," katanya.

Bagaimanapun kata beliau biar pun langkah popular dibuat, namun Umno dan Barisan Nasional belum mampu untuk menarik kembali sokongan rakyat yang telah hilang pada Mac 2008.

Menurutnya rakyat sudah faham situasi politik yang berlaku di negara ini sekarang dan mereka tidak mudah dipergulakan dengan laporan media kerajaan.

Mengenai kepetahan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming membaca ayat-ayat al Quran katanya sesiapa sahaja boleh membacanya.

Sebaliknya perkara yang tidak boleh dilakukan ialah menghina al Quran.

"Saidina Omar menganut Islam dahulu dengan asbab membaca ayat Quran dari surah Toha. Masa itu dia belum pun Islam lagi. Abu Jahal juga pernah membaca Quran.

"Tapi Rasulullah tidak pernah hukum bersalah pun. Tetapi pemimpin Umno kata salah. Ini bermakna bijak pemimpin Umno pula daripada Rasulullah saw," ujarnya.

Menjelang pilihan raya kecil Bukit Gantang baru-baru ini pemimpin Umno membuat laporan polis terhadap Nga Kor Ming kerana membaca ayat al-Quran ketika berceramah.

Hadir sama pada program ceramah tersebut Yang Dipertua PAS Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh dan pemimpin setempat. - mj _

Tiada ulasan: