Sabtu, 25 April 2009

10 dalil kenapa Tun Mahathir wajib diletakkan di Seri Penanti

Oleh: Helen Ang


Dalil 1

Penyakit remuk semangat Barisan Nasional mesti segera diubati. Nampaknya nakhoda Umno – kapal perang BN yang digentari – perlu lekas menghadap Tun Doktor Tok Pawang. “Jangan mengaku kalah!” herdik Ayahanda Mahathir tatkala mengulas kekosongan kerusi DUN Penanti, sambil menabur barus … maka asap kemenyan dan setanggi ladan pun berkepul-kepul naiklah ianya.

Mengapa pembangkang menang mudah empat pilihanraya kecil satu persatu? Ikutlah nasihat orang tua-tua: Kalau sesat, pulang ke pangkal jalan. Patuhilah kata-kata sakti khalifah Umno Baru, ahli nombor Sifar-Sifar-Satu yang digeruni.

Hanya Ayahanda M yang cukup pekat manteranya untuk menepis kemaraan, ‘winning streak’, Pakatan Rakyat. Dengan itu, wajar dia saja yang dijadikan sebagai calon BN di Penanti.

Dalil 2

Mohammad Fairus Khairuddin terpaksa berundur kerana ‘masalah persepsi’. Memandangkan begitu, Umno wajib mencalonkan seorang individu yang tidak dibelenggu ‘masalah persepsi’ sedemikian.

Maka calon yang bakal bertanding di Penanti mestilah seorang yang mampu memantapkan keyakinan rakyat terhadap ikhtiar Perdana Menteri baru Najib Razak untuk membanteras rasuah. Nama Ayah M sudah kononnya sebati dengan cogankata ‘Bersih, Cekap dan Amanah’ manakala rasuah tiba-tiba saja “semakin menjadi-jadi sewaktu Pak Lah memegang jawatan Perdana Menteri” (bersabda Tun Mahathir dalam takwimnya pada April 16).

mandibungaJadi, moleklah kalau mantan perdana menteri ini kita masukkan ke dalam gelanggang Seri Penanti nanti kerana tidak seperti tokoh Umno yang lain, nama Ayah M wangi bak melur, tidak terpalit walau secalit pun dengan kelemahan pentadbiran Pak Lah dan Tingkat No.4nya. Dia juga diketahui umum sebagai cukup suci dan bergemerlapan, kerna bersiram mandi jampi serapah hari-hari.

Dalil 3

Penduduk Pulau Pinang minat agar Ayah M menjadi ahli exco negeri (dan penasihat kepada ‘unity government’ Ketua Menteri Lim Guan Eng). Ayah M dikenali membawa perkembangan pesat prasarana seperti menara kembar tertinggi, kompleks suria terlonjong, litar lumba termeleret, lapangan terbang termontok dan seterbagainya.

Orang Penanti menanti-nantikan Jambatan Bengkok rekabentuk © Ir. Mahathir Mohamad dibina sebagai jambatan kedua di Pulau Pinang.

Dalil 4

Dalam ucaptamanya lewat ini, Ayahanda M berkata Barisan Nasional tidak pernah takut untuk meletakkan calon di mana-mana kawasan walau di kubu kuat PAS di Kelantan sekalipun. Apalagi kerusi DUN Penanti yang terletak di daerah Parlimen Permatang Pauh, kubu picisan Anwar Ibrahim cuma.

Mahathir Mohamad, perwira cekal, bangkit lagi bagai mumia yang kekal bagi meneruskan Perjuangan Yang Belum Selesai menyingkir Anwar si budak nakal. Sekiranya Ayah M sanggup lawan anak buah Anwar di Penanti, ini membayangkan dia berani menghadapi Anwar.

Seterusnya kemenangan mutakhir Mahathir akan mengesahkan sebaik-baiknya bahawa rakyat cukup percaya kepadanya dan dengan itu dilamun kali kedua cinta madu dengan Umno-BN. Sebaliknya kekalahan PKR di Penanti itu akan menjadi semacam sebat rotan buat Anwar – ini pasti berita gembira bagi Ayah M.

Dalil 5

Gandingan Anwar-Nurul, Kit Siang-Guan Eng dan Karpal-Gobind memperlihatkan anak mengikut jejak langkah bapa bergiat dalam politik. Tapi kesian sungguh adik Mukhriz setahun jagung yang dihiris halus oleh Khairy and Khir. Ayah M patut kembali ke arena politik demi mengendong Si Manja dan ’political comeback’’nya cukup sesuai bertapak di Seri Penanti.

Dalil 6

Agar wang dan masa tidak begitu terbazir, Umno kali ini patut mencalonkan seorang yang berprofail tinggi untuk bertanding di Penanti. Dan tidak seperti politikus-politikus aktif yang mungkin mengabaikan tugas-tugas seharian mereka sekiranya terlalu sibuk berkempen, Ayah M merupakan seorang yang berupaya menumpukan sepenuh perhatian kepada Penanti yang letaknya tak jauh pula dari Langkawi dan Kubang Pasu. Kalau “saya sudah pencen, kita bagi sajalah apanama, peluang kat orang lain”, maka tidaklah ertinya.

Dalil 7

Lantaran “One of the direct results of this one man’s [Abdullah] stewardship was to create deep divisions between the races in Malaysia”; Tok Dukun telah membuat kira-kira nujum berlimau purut dan mewahyukan bahawa hubungan antara kaum merosot angkara Pak Lah dan natijahnya parti komponen BN hilang pengaruh.

Mesej perpaduan ‘1Malaysia’ mampu disampaikan dengan berkesan oleh Ayah M kerana ‘Bangsa Malaysia’ pun suatu ungkapan yang dicipta oleh Mahathir sendiri dahulu kala. Disyorkan Ayah M bertindak sambil menyelam sambil minum air. Orang Cina dan orang India terlalu sayang kepada Bapa Perpaduan Malaysia sepanjang dua puluh-dan-dua tahun … dulu, kini dan selama-lamanya.

Ayahanda Tun juga disegani di mana jua kawasan majoriti Melayu. Undi Melayu di Bukit Gantang berbalik ke Umno +5 peratus di Bukit Gantang dua minggu lepas pun kerana pengaruh dan popularitinya. Percayalah, kerana kira-kira nujum yang mengatakan dengan begitu tepat hingga ke satu angka tidak mungkin salah. Ayah M sebagai penggerak perpaduan kaum ialah calon paling sesuai dibentangkan sebagai lambang formula muhibbah BN.

Dalil 8

Alangkah ruginya Mawi yang tak minat politik kerana aura ‘pop star’ akan memenangkan calon dalam suasana di mana rakyat kononnya sudah letih dan jemu dengan permainan guli politik.

Ayah M diiringi tepukan riuh gemuruh di perhimpunan Umno lewat bulan lepas; jelas terbukti daya pemikatnya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Sekiranya turun padang, peluang popstar yang malar ini sudah tentu tampak cerah sekali.

Dalil 9

Ada sesetengah komentar di dalam akhbar tempatan dan majalah asing mewar-warkan yang Malaysia sedang pulang ke pangkuan Mahathirisme, dan ini seolah-olahnya akan memudaratkan rakyat. ‘Mahathirisme ada apa cacat-celanya?’ balas Ayah M.

Maka pilihanraya kecil di Penanti kita jadikanlah sebagai referendum-nya. Kalau Ayah M menang, tidak syak lagi bahawa pengundi Malaysia adalah penyokong tegar ideologi Mahathirisme dan dengan itu gemilanglah tanahair untuk 22 Masihi lagi.

Dalil 10

Ayah M juga mencatat di almanaknya: “Is it wrong for us to look back on the past? Some think it is irrelevant. … But I think we should know where we came from. Otherwise we would not know which way we should go.”

Pada hemat Ayah M, seseorang itu harus tidak mudah lupa asal-usulnya serta ke arah, Kerala, mana ditujuinya. Bukankah kita asyik sedu-sedan mendengar al-kisah segala sumbangan a/l Kutty?

Justeru itu, tak hairanlah jikalau kita beria-ia memujuknya supaya bertanding di Penanti kerana ingin membayar hutang budi. Kalau Ayah M menjadi calon, jamin dia akan bolos undi barang siapa yang tahu menghargai jasa.

Maka arakian dengan itu terteralah begitu rupa 10 alasan mengapa Ayahanda Mahathir kita harus menyahut cabaran menjadi calon BN di Seri Penanti. Moga puji-pujian dan anjuran hamba ini ditiup bayu dan berhinggap merdu pada telinga tuan yang menentukan.

Tiada ulasan: