Ahad, 26 April 2009

Najib mahu kesesakan bandaraya diatasi segera

MALAYSIA KINI


Tiga minggu selepas Datuk Seri Najib Tun Razak turun padang untuk melawat tiga kawasan di tengah-tengah bandaraya, Perdana Menteri hari ini melakukan satu lagi kejutan berjalan kaki di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) dan Puduraya yang sentiasa sesak dengan lalulintas.

Beliau kurang senang dengan kesesakan itu dan ketidakcekapan kemudahan awam semasa melakukan tinjauan selama sejam, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Najib, yang berpakaian kasual berkemeja warna perang dan seluar berwarna bij, tiba di Jalan TAR, dekat Semua House pada 3.20 petang, diiringi oleh Raja Nong Chik, timbalannya Datuk M Saravanan dan datuk bandar bandaraya Kuala Lumpur Datuk Ahmad Fuad Ismail.

Di Jalan TAR, yang terkenal dengan kedai-kedai tekstil dan barang kemas, Najib diberi taklimat oleh Ahmad Fuad mengenai cadangan tempat parkir bertingkat berhampiran Semua House, dan beberapa rancangan menaik taraf lain di situ, lapor Bernama.

Beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit berjalan di sepanjang lorong berkenaan sambil berhenti berbual dengan ahli-ahli perniagaan dan orang ramai.

Kemudian, beliau menaiki LRT yang penuh sesak (beliau terpaksa berdiri) di stesen Masjid Jamek ke stesen Plaza Rakyat dan beliau berjalan kaki di kawasan Puduraya yang terkenal dengan kesesakannya - di mana terletak terminal bas ekspres untuk perkhidmatan ke utara dan selatan tanah air.

Bagi mengelakkan panas terik, Najib berhenti di salah sebuah gerai di
bangunan itu mendapatkan minuman sejuk.

Najib, yang diiringi oleh sekumpulan pengawal keselamatan dan
pegawai-pegawai, menarik perhatian orang ramai, yang tidak membuang masa untuk mengambil gambar perdana menteri keenam negara itu.

Seorang wanita yang ternampak kelibat Najib lantas memboloskan diri di tengah-tengah kumpulan orang ramai sambil berteriak: "Saya mahu ambil gambar perdana menteri saya".

Najib kemudian bergerak untuk memeriksa bangunan projek Plaza Rakyat yang lama terbengkalai di sebelah Puduraya sebelum berlepas balik pada jam 4.25 petang.

Tiada ulasan: