Sabtu, 25 April 2009

RM500j laksana projek naik taraf

Oleh HASHNAN ABDULLAH


PUTRAJAYA - Sebanyak RM500 juta peruntukan tambahan disalurkan bagi melaksanakan projek pembinaan dan menaiktaraf kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar seluruh negara sebelum hujung tahun ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, peruntukan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Kedua itu memfokuskan kepada kemudahan bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya.

''Ia adalah peruntukan bawah PRE yang bertujuan untuk membolehkan masyarakat di kawasan luar bandar menikmati kehidupan lebih baik berbanding sebelum ini.

''Sehingga kini lebih kurang separuh daripada peruntukan itu telah digunakan sama ada untuk membina atau menaiktaraf kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian di sini hari ini.

Turut hadir dua timbalan menteri kementerian itu, Datuk Joseph Entulu Anak Belaun dan Datuk Hassan Malek.

Sebelum ini, kementerian berkenaan menerima RM500 juta di bawah PRE Pertama untuk membina 13,236 unit rumah menerusi Program Bantuan Rumah (PBR) seluruh negara pada tahun ini.

Setakat ini sebanyak 93.42 peratus daripadanya telah disalurkan kepada pelbagai agensi pelaksana PBR dan sejumlah 65 unit rumah telah siap dibina; 5,677 unit lagi dalam pelaksanaan serta selebihnya di peringkat penyediaan dokumen.

Mohd. Shafie memberitahu, beliau akan memastikan peruntukan berkenaan dibelanjakan dan faedah serta impaknya dirasai oleh golongan sasaran.

Sehubungan itu, tambahnya, beliau akan memantau rapi setiap projek dan program yang dirancang.

''Saya dan pegawai kementerian akan sering turun padang untuk memastikan pelaksanaannya mencapai matlamat yang ditetapkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu setiap warga kementerian berusaha membawa perubahan pemikiran di kalangan masyarakat luar bandar yang mereka boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

''Jangan belenggukan minda kita dengan fikiran duduk di kampung tidak boleh buat apa lagi atau fikiran tinggal di kampung untuk orang pencen sahaja," katanya.

Tiada ulasan: