Khamis, 30 April 2009

Saman fitnah RM10 juta Karpal terhadap Utusan 2 Julai ini

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 2 Julai ini bagi pengurusan kes saman RM10 juta yang dikemukakan anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh terhadap Utusan Melayu (M) Sdn Bhd berhubung artikel berunsur fitnah berkenaan komennya mengenai Islam.=

Timbalan Pendaftar Nazri Ibrahim menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya hari ini.Peguam Nicholas Netto mewakili Karpal manakala M.Mohana Kumar mewakili Utusan Melayu.=

Dalam pernyataan tuntutannya, Karpal, yang juga seorang peguam, mendakwa artikel bertajuk "DAP diingat jangan bakar perasaan Melayu" yang diterbitkan pada 25 Ogos tahun lepas, menyatakan yang beliau telah mengeluarkan komen mengenai Islam dalam ucapan alualuannya pada Kongres Kebangsaan DAP ke15 yang diadakan pada hari sebelumnya (24 Ogos tahun lepas).=

Beliau mendakwa perkataan memfitnah itu difahamkan membawa maksud, antara lain, bahawa Karpal ialah seorang ahli politik yang cenderung untuk mencetuskan rasa benci di kalangan pelbagai kaum di negara ini, adalah palsu dan berniat jahat dengan niat untuk memusnahkan kerjaya profesional dan politiknya.

Pengerusi Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu berkata beliau telah secara konsisten menyatakan dalam ucapanucapannya di khalayak umum dan sebagai anggota Parlimen di Dewan Rakyat sejak 26 tahun lepas bahawa Islam ialah agama rasmi negara ini seperti termaktub di bawah Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau memohon RM10 juta sebagai ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah, kos dan sebarang relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam pernyataan balasan yang difailkan pada 3 Nov tahun lepas, Utusan Melayu berkata permohonan maaf yang diterbitkan dalam akhbarnya itu telah diterima oleh Karpal sebagai memenuhi surat tuntutannya (Karpal).

Utusan Melayu mendakwa perkataan yang dipertikaikan oleh Karpal yang dinyatakan dalam artikel itu berlaku kerana salah faham/keliru dan ia merupakan kesilapan yang tidak disengajakan.

Ia mendakwa artikel itu disiarkan dengan niat baik dan adalah bona fide tanpa sebarang niat jahat terhadap Karpal.

Tiada ulasan: