Khamis, 30 April 2009

Tanding kali keempat, Mansor mampu menang di DUN Penanti?

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


PETALING JAYA: Walaupun tewas dalam tiga pilihan raya umum sebelum ini, Mansor Othman dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin akan mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti bulan depan.

Mansor, 56, berkata, beliau yakin mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk menang dalam pilihan raya kecil ini.

Beliau telah tewas pada pilihan raya umum 1999 di kerusi Parlimen Balik Pulau kepada wakil Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Zain Omar.

Pada 2004 beliau tewas dalam saingan kerusi DUN Seberang Jaya kepada calon BN, Datuk Arif Shah Omar dan Muhammad Farid Saad di DUN Pulau Betong empat tahun kemudian.

Mansor juga menjadi perhatian apabila mengemukakan pencalonan bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh Ogos lalu, yang dimenangi Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi menarik diri selepas proses penamaan calon ditutup.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan PKR Pulau Pinang ini percaya bahawa persaingan kali ini akan berpihak kepada beliau memandangkan Penanti adalah kubu kuat PKR.

"DUN Penanti adalah di bawah Parlimen Permatang Pauh yang dipegang oleh Datuk Seri Anwar dan PKR tidak pernah kalah di Permatang Pauh.

"Selain itu, sokongan yang diberikan kepada saya begitu kukuh dan jentera kita di kawasan itu juga kuat," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Malam tadi, Anwar mengumumkan Mansor sebagai calon PKR-Pakatan bertanding dalam pilihan raya DUN Penanti 31 Mei ini.

Mansor, berasal dari Kedah, merupakan bekas pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) dan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Anwar selama tiga tahun bermula 1996 ketika Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Beliau juga merupakan Ketua Bahagian PKR Balik Pulau selain telah berkhidmat selama 10 tahun sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti dan Timbalan Pengarah Pilihanraya Pusat.

Ketika ditanya desas-desus yang mengatakan pemilihannya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu disebabkan tidak tercalon mewakili PKR sebagai senator, Mansor menafikan hal itu.

Katanya, beliau dipilih daripada beberapa calon yang disenarai pendek kerana pengalamannya yang luas dalam pentadbiran dan merupakan antara pemimpin yang senior dalam PKR.

"Apa pun, saya gembira atas kepercayaan yang diberikan parti kepada saya," katanya.

Berhubung persoalan sama ada BN akan bertanding menentang beliau dalam pilihan raya kecil itu, Mansor berkata, beliau yakin BN akan meletakkan calon di Penanti.

"Saya yakin, mereka akan letakkan calon dan kalau itu berlaku, kita akan bertanding secara sihat.

"Tetapi jika mereka tidak bertanding pun, itu lebih baik bagi kita," katanya.

Mansor berkata, beliau menjangka beberapa lagi calon Bebas akan memberi saingan kepada beliau sekirannya BN tidak meletakkan calon.

Setakat ini, hanya seorang calon Bebas yang telah mengesahkan akan bertanding dalam pilihan raya kecil itu iaitu bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah.

Ditanya cabaran yang bakal dihadapi dalam pilihan raya kecil itu nanti, Mansor berkata, tidak ada cabaran yang terlalu besar di kawasan itu kerana sokongan penduduk kepada PKR di kawasan itu begitu padu.

"Selain itu, isu-isu di kawasan itu lebih berkisar kepada isu nasional dan tidak tertumpu kepada isu tempatan," katanya.

Pilihan raya kecil Penanti adalah pilihan raya kecil keenam yang diadakan selepas pilihan raya umum pada 8 Mac tahun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mei sebagai hari penamaan calon dan 31 Mei sebagai tarikh mengundi.

Kerusi Penanti kosong apabila Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I, Mohammad Fairus Khairuddin meletakkan jawatan.

Tiada ulasan: