Isnin, 27 April 2009

Pilihan raya kecil Penanti: Mesyuarat pertama PKR bincang calon Rabu

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN


PETALING JAYA: Badan Perhubungan Parti Keadilan (PKR) Pulau Pinang akan mengadakan mesyuarat pertama mengenai calon yang akan mewakili parti itu pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti Rabu ini.

Menurut Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim beliau akan mempengerusikan mesyuarat tersebut bagi mendapatkan maklum balas awal mengenai calon daripada ketua-ketua bahagian di negeri tersebut.

"Sekarang ini saya masih di Kuala Lumpur, insya-Allah kita akan adakan mesyuarat pertama Rabu ini. Dalam mesyuarat itu nanti kita akan bincangkan mengenainya (calon-calon yang sesuai)," katanya kepada mStar Online hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan akhir mengenai calon yang layak mewakili parti itu akan diputuskan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ditanya mengenai desas-desus yang mengatakan PAS juga akan bertanding di kerusi tersebut, beliau yakin masalah itu akan dapat diselesaikan dengan kaedah musyawarah.

"Selepas mesyuarat pertama PKR, kita akan adakan mesyuarat dengan barisan kepimpinan Pakatan (bersama-sama DAP dan PAS) untuk membincangkan mengenai isu calon mana yang akan mewakili Pakatan.

"Saya yakin pucuk pimpinan Pakatan akan dapat mencapai keputusan terbaik mengenai isu ini," katanya.

Jelas beliau, walaupun mengikut tradisinya kerusi tersebut milik PKR namun perbincangan bersama dapat menyelesaikan isu tersebut.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali mengizinkan sekiranya ada cadangan untuk meletakkan calon parti itu pada pilihan raya kecil kawasan berkenaan.

Hari ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil DUN Penanti di Pulau Pinang akan diadakan pada 31 Mei ini.

Penamaan calon pula ditetapkan berlangsung 23 Mei, demikian diumumkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof di Putrajaya pagi ini.

Tiada ulasan: