Jumaat, 24 April 2009

Wartawan Utusan usung isu tiang gol ke SPRM

Jimadie Shah Othman


Selepas gagal mengadakan piket di perhimpunan agung Umno bulan lalu, Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu akan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Isunya bukan kegagalan rundingan tentang perjanjian bersama (CA) wartawan akhbar Umno itu dengan majikannya tetapi mengenai harga tiang gol yang didakwa terlalu mahal.

Pengerusi NUJ cawangan akhbar berkenaan Amran Ahmad dijadual akan ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya petang ini.

"Kita (wartawan) sendiri telah ke sana dan melihat tiang gol tersebut, ia adalah tiang yang biasa, tiada pun tandatangan (David) Beckham dan (Didier) Drogba di atasnya," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Pada 25 Mac, sewaktu Umno sedang sibuk mengadakan pemilihan dan perhimpunan agungnya, NUJ Utusan Melayu membatalkan piket berhubung isu CA apabila gagal mendapat permit polis.

Ia pada awalnya merancang piket setelah gagal mendapat maklum balas barisan pemimpin tertinggi Umno termasuk presidennya waktu itu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak berhubung tuntutan-tuntutan wartawan.

Tuntutan NUJ Utusan bagi CA penggal 2008 hingga 2011, antaranya, pelarasan gaji sebanyak 10 peratus, kenaikan gaji tahunan RM5, tambahan elaun kenderaan sebanyak RM50 dan pengekalan faedah-faedah lain yang terkandung dalam CA itu.

Rundingan terbaru itu susulan CA lama yang telah tamat pada 31 Julai tahun lepas.

Kesatuan itu mewakili hampir 300 ahli yang terdiri daripada wartawan, jurugambar dan artis grafik yang menjadi nadi jabatan pengarang akhbar-akhbar keluaran Utusan Melayu (M) Berhad, Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo!.

Tiada ulasan: