Ahmad Said: Anggota AMK bertindak emosional
MSTAR ONLINE
PETALING JAYA: Tindakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) menghadiahkan lembu sebagai simbolik berhubung isu siasatan penyalahgunaan kuasa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim "merupakan penghinaan kepada kerajaan."
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata, menghina kakitangan awam yang menjalankan tugas mereka juga satu kesalahan.
"Ia adalah penghinaan kepada kerajaan. Kita telah buat laporan polis mengenai hal itu dan kini terserah kepada polis.
"Menghina kakitangan kerajaan yang menjalankan tugas mereka adalah satu kesalahan," kata beliau dalam temu bual dengan Sunday Star dan mStar Online baru-baru ini.
Tambah beliau, anggota AMK menggunakan lembu untuk memperolokkan orang lain.
SPRM tetapkan tempoh setahun selesai setiap aduan
"Itu bukan sesuatu yang baik. Pada saya, itu memperolokkan kami... mereka memperkatakan tentang profesionalisme tetapi mereka sendiri tidak profesional.
"Mereka emosional. Kita baru membuat sedikit penguatkuasaan dan mereka sudah mula berkata macam-macam tentang kita," katanya.
Tambah beliau, sebelum ini apabila SPRM menangkap mereka di kerajaan dan sektor swasta, pihak pembangkang itu tidak pula berkata apa-apa.
Pada Rabu lalu, AMKN menyerahkan seekor anak lembu kepada SPRM sebagai tanda bantahan terhadap kenyataan Ahmad Said bahawa badan itu mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa Khalid berhubung kesalahan salah guna kuasa.
Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, anak lembu itu adalah sebagai simbol bantahan mereka terhadap SPRM yang dilihat bersungguh-sungguh menyiasat kes Khalid yang didakwa menyalah guna kuasa berhubung penyenggaraan sebuah keretanya dan dalam pembelian 46 ekor lembu korban di kawasan pilihan raya yang diwakilinya.
"Dalam kes MB Selangor yang kita protes hari ini, dalam keadaan kertas siasatan masih berstatus rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi, Ketua Pesuruhjaya SPRM telah membuat kenyataan mendahului mahkamah untuk memulakan pendakwaan ke atasnya," katanya.
Pada 20 Februari lalu, Ahmad Said berkata SPRM mempunyai bukti kukuh untuk mengheret Khalid ke muka pengadilan berhubung dakwaan itu.
Bagaimanapun Ahmad Said mempertahankan kenyataannya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan