Oleh AMIRUDDIN HARUN
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) hari ini diberitahu bahawa penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan berkaitan agama Kristian bukan lagi satu larangan.
Keputusan itu terkandung dalam Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Dalam Penggunaan Perkataan Tertentu dalam Dokumen dan Penerbitan) 2009 yang baru diwartakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menurut Peguam Kanan Persekutuan, Nizam Zakaria, perintah bertarikh 21 Januari lalu berkuat kuasa serta-merta setelah ia diwartakan pada 16 Februari lalu.
Perintah tersebut berbunyi : ''Percetakan, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran dan pemilikan sebarang dokumen dan penerbitan berkaitan agama Kristian yang mengandungi perkataan Allah, Kaabah, Baitullah dan Solat adalah dilarang melainkan di muka hadapan dokumen dan penerbitan itu ditulis dengan perkataan 'Khusus Untuk Penganut Agama Kristian'.''
Nizam memberitahu demikian semasa sebutan kes semakan kehakiman (undang-undang) oleh Gereja Katolik terhadap larangan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan Herald - The Catholic Weekly di hadapan Hakim Lau Bee Lan.
Sehubungan itu, Nizam berkata, permohonan semakan kehakiman kini telah menjadi akademik (tak terpakai).
Peguam Porres P. Royan yang mewakili pemohon Gereja Katolik memberitahu, dengan perkembangan terbaru itu, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan penjelasan.
''Permohonan kami dibuat melalui Akta Percetakan dan Penerbitan 1984, oleh itu kami perlu mengkaji perintah yang dikeluarkan kementerian tersebut sama ada ia boleh dimansuh atau dibatalkan dan kesan selanjutnya,'' katanya.
Menurutnya, jika pihaknya menerima baik penjelasan tersebut, sudah tentu kes semakan kehakiman itu tidak akan diteruskan.
Bagaimanapun, katanya, adalah terlalu awal untuk membuat keputusan mengenainya dan pihaknya akan memaklumkan kepada mahkamah jika terdapat persetujuan kes itu secara baik.
Dalam pada itu, mahkamah menetapkan 28 Mei ini untuk mendengar permohonan Gereja Katolik bagi mengetepikan permohonan tujuh Majlis Agama Islam Negeri, Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) dan Majlis Gurdwara Malaysia sebagai pencelah dalam kes semakan kehakiman itu.
Tujuh Majlis Agama Islam Negeri terbabit ialah Terengganu, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Johor dan Melaka.
Hakim Bee Lan juga menetapkan 7 Julai ini untuk mendengar permohonan sama ada kes itu perlu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
Dalam permohonan yang difailkan pada 19 Mac lalu, Gereja Katolik menamakan Kementerian Dalam Negeri sebagai responden pertama dan Kerajaan Malaysia responden kedua.
Gereja Katolik memohon perintah bahawa keputusan responden-responden pada 12 Februari 2008 berhubung larangan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan Herald - The Catholic Weekly adalah salah di sisi undang-undang.
Gereja Katolik juga memohon perintah bahawa pihaknya berhak menggunakan perkataan Allah dan perkataan Allah tidak khusus kepada agama Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan