Oleh G. MANIMARAN, ARIFFUDDIN ISHAK dan ZANARIAH ABD. MUTALIB
[DIKEMAS KINI, 10.50 MALAM]
PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dilantik menjadi Menteri Besar Perak yang baru.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Subang sebentar tadi.
Beliau berkata Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah memperkenan pemilihan Zambry sebagai Menteri Besar.
Upacara mengangkat sumpah Menteri Besar baru itu akan diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 3.30 petang, esok.
Upacara mengangkat sumpah Exco pula akan diadakan pada 10 Feb pukul 10 pagi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Dalam pada itu, Setiausaha Umno Negeri Perak, Datuk Ramly Zahari ketika dihubungi mengucapkan tahniah diatas perlantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang baru.
"Tahniah kepada ADUN Pangkor, kami (Umno Perak) menyambut baik keputusan yang dibuat Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang juga mendapat perkenan Sultan Perak berhubung lantikan itu," katanya.
Beliau berharap semua pihak sama-sama berganding bahu mentadbir Perak dengan baik demi kepentingan rakyat.
"Selepas ini semua pihak kena bekerja keras untuk memastikan pembangunan untuk rakyat dilaksanakan dengan segera.
"Tambahan pula keadaan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Perak ketika ini hampir sama sewaktu Pakatan Rakyat dahulu kerana kelebihan majoriti yang kecil.
"Jadi tumpuan kepada pembangunan serta kebajikan rakyat harus diutamakan bagi memastikan Perak terus kekal mentadbir Perak," katanya.
Sementara itu di IPOH, BERNAMA melaporkan Zambry berjanji akan mengembalikan ketenangan dan keharmonian kepada rakyat negeri Perak.
Beliau, yang menjunjung kasih kepada Sultan Perak Sultan Azlan Shah kerana memberi perkenan dan kepercayaan untuk beliau dilantik sebagai Menteri Besar yang baru, menganggap tanggungjawab itu sebagai satu amanah yang harus dipikul dengan sifat kepimpinan yang baik.
"Saya akan lakukan amanah ini dengan sebaik-baiknya. Saya turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak serta rakan-rakan terhadap sokongan yang diberikan," katanya di sini malam ini.
Zambry berkata dengan perlantikan beliau yang diperkenankan Sultan Azlan Shah, berharap ia tidak akan menimbulkan suasana dan isu yang tidak baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan