Ahad, 1 Februari 2009

Seludup dadah guna sabun mandi

myMetro


PRAI: Sindiket penyeludupan dadah kini dilihat semakin terdesak dengan menggunakan pelbagai taktik untuk membawa masuk bahan larangan itu ke negara ini termasuk menggunakan sabun mandi yang ditebuk bagi menyorokkan ketamin.

Bagaimanapun, taktik terbaru itu dibongkar Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Pulau Pinang selepas menahan seorang lelaki warga India jam 10.20 malam Khamis lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL).

Lelaki berusia lingkungan 40-an itu memasuki negara ini menerusi Bangkok, Thailand dan ditahan di LTABL selepas disyaki membawa bagasi mengandungi dadah.

Timbalan Pengarah Kastam negeri, Chik Omar Chik Lim, berkata melihat gelagat lelaki berkenaan yang mencurigakan, pegawai kastam melakukan pemeriksaan ke atas bagasi dibawanya.

Katanya, pegawai kastam mengesyaki sesuatu kerana lelaki berkenaan membawa dua bekas menyimpan makanan (termos) dan sabun mandi dalam jumlah yang banyak.

“Unit Narkotik KDRM yang membuat pemeriksaan lanjut menemui hablur putih dipercayai ketamin dalam ruang khas bekas menyimpan makanan dan pengimbasan yang dilakukan ke atas sabun mandi mendapati ada sesuatu di dalamnya.

“Sebanyak 147 ketul sabun mandi jenama Lifebuoy dan Hamam ditebuk dan dimasukkan ketamin seberat kira-kira 10 gram setiap satu.

“Semua ketamin berkenaan dianggarkan seberat 7.48 kilogram dengan nilai pasaran kira-kira RM262,000," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Pencegah Kastam Prai, di sini, semalam.

Chik Omar berkata, lelaki berkenaan direman selama tujuh hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah tetapi pernah bekerja di kedai makan di negara ini selama dua tahun.

Chik Omar berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penyeludupan dadah boleh menghubungi pihaknya di talian bebas tol 1-800-88-8855 atau 04-3972969.

Tiada ulasan: