BERNAMA
KUALA LUMPUR:Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan Isnin ini bagi sebutan untuk mempertimbangkan tiga isu yang dibangkitkan pada hari pertama prosiding undang-undang yang difailkan oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mencabar pelantikan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.
Tiga isu itu ialah sama ada Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Ariff Md Yusof patut menarik diri daripada mendengar saman itu, mengenai sama ada kes itu patut dirujuk ke Mahkamah Persekutuan untuk penentuan daripada segi persoalan undang-undang dan mengenai kedudukan Penasihat Undang-undang Negeri Perak Datuk Ahmad Kamal Md Shahid untuk mewakili Dr Zambry dalam saman itu.
Mohamad Ariff menetapkan tarikh itu selepas Peguam Kanan Persekutuan See Mee Chun memaklumkan mahkamah yang beliau perlu mendapatkan arahan mengenai pendirian Pejabat Peguam Negara mengenai tiga isu itu.
Kes itu ditetapkan untuk sebutan hari ini selepas Mohammad Nizar memfailkan saman itu Jumaat lepas.
Hadir di mahkamah ialah Mohammad Nizar, yang diwakili oleh sepasukan lapan peguam yang diketuai Sulaiman Abdullah.
Dr Zambry diwakili oleh Ahmad Kamal manakala See mewakili Pejabat Peguam Negara dan Datuk Mohd Hafarizam Harun adalah peguam pemerhati bagi Umno.
Mohammad Nizar memohon semakan kehakiman untuk mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah dan bagi injunksi untuk menghalang Dr Zambry atau ejennya daripada menjalankan tugas dan fungsi sebagai Menteri Besar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan