Rabu, 18 Februari 2009

Polis KL ambil alih kes Eli

MALAYSIA KINI


Kes siasatan penyebaran gambar bogel Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, akan dipindahkan kepada polis Kuala Lumpur esok, kata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata kes itu dipindahkan berikutan rumah Wong berada dalam bidang kuasa polis Kuala Lumpur dan perkara itu disedari apabila pasukan forensik membuat siasatan di rumahnya di Jalan Gasing tengah hari ini.

"Unit forensik membuat siasatan kira-kira dua jam dan selepas itu kita sedari kawasan yang didiami oleh YB Wong berada di Kuala Lumpur, maka esok kita akan serahkan maklumat hasil siasatan setakat ini kepada IPKKL," katanya kepada Bernama hari ini.

Khalid berkata polis masih berusaha mengesan rakan lelaki Wong yang boleh membantu siasatan berhubung kes penyebaran gambar bogel tersebut.

"Kita telah meminta rakan lelaki YB Wong untuk hadir pada hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya bagi memberi keterangan, namun sehingga kini beliau (rakan lelaki) tidak hadir dan kita minta beliau untuk tampil memberi kerjasama," katanya.

Khalid berkata polis masih menjalankan siasatan kes tersebut walaupun Wong telah mengaku bahawa imej yang ada dalam gambar tersebut adalah dirinya.

"Apa yang lebih penting ialah mengenal pasti dalang sebenar penyebaran gambar tersebut," katanya.

Semalam polis mengambil keterangan Wong dan empat wartawan dari akhbar Malay Mail dan The Sun bagi membantu siasatan berhubung penyebaran gambar bogel membabitkannya.

Wong membuat laporan di Balai Polis Damansara malam Ahad lepas berhubung penyebaran gambar bogelnya.

Tiada ulasan: