Sabtu, 21 Februari 2009

Polis: Kes gambar Elizabeth bukan perangkap

Oleh ZANARIAH ABDUL MUTALIB


KUALA LUMPUR: Polis telah menerima dua keping gambar, yang didakwa gambar separuh bogel Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong, dalam bentuk cakera padat.

Sehubungan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, polis juga telah menerima kertas siasatan penuh daripada polis Selangor semalam.

Selain itu, beliau meminta pihak media supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menokok tambah cerita dalam kes ini.

"Pihak polis tidak mahu hal-hal peribadi pengadu dan mana-mana pihak dispekulasikan kerana ia akan mengganggu proses siasatan yang sedang dibuat dan demi keadilan semua pihak," kata beliau di sini semalam.

Malah polis menolak andaian rakaman gambar separuh bogel itu sebagai satu perangkap bagi menjatuhkan ahli politik itu.

Sebaliknya siasatan polis setakat ini mendapati insiden itu dipercayai dirakamkan oleh individu yang dikenali mangsa sendiri.

"Siasatan kita merangkumi semua sudut termasuk motif rakaman dan penyebaran gambar berkenaan serta siapakah dalang yang terlibat. Sama ada ia berunsur untuk menjatuhkan individu itu juga akan akan siasat.

"Bagaimanapun, setakat ini kita percaya ia bukannya perangkap yang dirancang oleh seseorang seperti yang didakwa oleh pihak tertentu," kata Muhammad Sabtu.

Sebelum ini, ada pihak mendakwa Barisan Nasional (BN) dan beberapa pihak lain terlibat dalam penyebaran gambar separuh bogel itu.

Beliau turut menafikan laporan beberapa akhbar tempatan yang mendakwa polis telah menahan dua suspek yang terlibat di dalam kes ini.

Muhammad Sabtu berkata, polis masih gagal menghubungi bekas teman lelaki Wong bagi diambil keterangan justeru lelaki tersebut diminta untuk tampil dalam kadar segera bagi menjernihkan keadaan.

"Kita mahu beliau tampil dalam kadar segera dan beri keterangan berhubung kes ini. Tetapi jika beliau enggan tampil, kita mungkin bertindak memburu beliau termasuk bekerjasama dengan Interpol," katanya.

Beliau turut meminta media tidak membuat sebarang spekulasi dengan menokok tambah bahan yang hanya akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

"Demi keadilan semua pihak, media diminta jangan membuat sebarang spekulasi yang boleh merumitkan lagi keadaan lagi-lagi jika tidak mendapat pengesahan dari kami sendiri," katanya.

Katanya, masa dan ruang perlu diberikan kepada pihak polis dalam menjalankan dan mempersiap siasatan secara teratur dan sempurna.

Tiada ulasan: