Salmah Mat Husain
KOTA BHARU - Isu yang dicetus Umno di Perak ternyata mengundang simpati rakyat terhadap Pakatan Rakyat. Ini dapat dibuktikan apabila masyarakat bukan Islam menyatakan sokongan secara terbuka.
Berdasar kepada perkembangan itu Pakatan tidak bermasalah untuk mempertahankan kerusi di Parlimen Bukit Gantang dan Bukit Selambau pada pilihan raya kecil yang akan diadakan 7 April depan.
Anggota Exco kerajaan Kedah, Ustazah Asyah Mohd Ghazali berkata, hampir setahun kerajaan Kedah yang bertema 'Kedah Maju' mentadbir, rakyat semakin menyenangi kepemimpinan kerajaan negeri.
"Kerana itu kita berkeyakinan penuh sekiranya pilihan raya kecil diadakan mengikut amalan dekomrasi, calon Pakatan Rakyat tidak menghadapi masalah besar bagi mempertahankan kemenangan," katanya ketika dihubungi di sini.
Pilihan raya kecil Bukit Selambau diadakan ekoran Adun kawasan itu yang juga anggota Exco kerajaan negeri, V Arumugam meletak jawatan kerana tekanan kuat yang dihadapi daripada Barisan Nasional.
Sehubungan itu, Asyah menyifatkan perletakan jawatan Arumugam merupakan satu kehilangan besar bagi kerajaan Kedah.
"Saya kenal, memang beliau seorang yang baik dan selalu bertanyakan tentang hal-hal agama Islam, namun kami akur dengan keputusannya kerana tekanan yang cukup hebat dihadapi daripada pihak lawan.
"Dia sanggup gadaikan haknya demi kerajaan negeri dan parti dengan melepaskan jawatan untuk diberi hak semula kepada rakyat memilih pemimpin yang baru," ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Kedah berkata, mood rakyat terhadap Pakatan Rakyat di seluruh negara masih tinggi setelah melihat sendiri perubahan positif yang berlaku di negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat.
Beliau juga berharap Arumugam yang kini menghilangkan diri supaya menghubungi mana-mana pemimpin di Kedah bagi berkongsi masalah yang dihadapinya.
Ditanya mengenai calon di Bukit Selambau Asyah berkata, Muslimat PAS Kedah menerima sesiapa sahaja yang diputuskan pemimpin Pakatan Rakyat.
"Siapa pun calon yang bakal bertanding asalkan dia dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan terhadap rakyat pelbagai bangsa, kita sokong," ujarnya. - mj _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan