Khamis, 19 Februari 2009

Pemilihan Presiden MIC 12 April, Samy pertahan jawatan

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Pemilihan jawatan Presiden MIC diadakan 12 April ini dengan Datuk Seri S. Samy Vellu mengulangi pendirian mahu mempertahankan kedudukannya buat penggal ke-10.

Penamaan calon pula diadakan pada 22 Mac ini. Ia diumumkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) hari ini. Bekas Menteri Kerja Raya itu yang tewas dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu menyandang jawatan itu sejak 1979. Pemilihan MIC diadakan secara berasingan daripada jawatan-jawatan lain, yang dijangka berlangsung September ini.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, MIC telah menjalin pakatan dengan beberapa buah gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kaum India bagi menghadapi pilihan raya kecil serentak di Bukit Selambau, Kedah dan Bukit Gantang, Perak, 7 April ini.

Samy Vellu berkata, mereka telah menubuhkan sebuah pasukan petugas yang terdiri daripada pemimpin akar umbi dan NGO bagi meningkatkan persefahaman dan penyelarasan untuk memikat pengundi kaum India yang menyokong pembangkang pada pilihan raya umum tahun lepas.

Katanya MIC mahu melaksanakan pendekatan baru dengan menjemput NGO menyertai jentera pilihan raya kerana badan tersebut berpengaruh di kalangan masyarakat.

"NGO telah memberi impak pada pilihan raya umum lepas dan kini kami menjalin pakatan dengan banyak NGO bagi menawan hati dan minda pengundi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja pusat (CWC) di sini hari ini.

Beliau juga berkata, MIC telah mengaktifkan bilik gerakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dan kawasan Parlimen Bukit Gantang di mana hari penamaan calon ditetapkan 29 Mac ini.

"Satu pasukan peninjau awal telah dihantar ke kawasan kubu kuat pembangkang di kedua-dua tempat tersebut dan hasil maklum balas mendapati ramai pengundi India ingin kembali kepada Barisan Nasional (BN)," katanya.

Sejak menguasai kerusi DUN BUkit Selambau, Samy Vellu mendakwa pihak pembangkang gagal membawa sebarang pembangunan ke kawasan itu dan kini pengundi di sana mahu perubahan.

Katanya beliau sendiri akan turun padang untuk berkempen di kedua-dua pilihan aya kecil itu dan akan menamakan penyelaras parti bagi keduadua kawasan itu kemudian.

"Kami juga telah menubuhkan sebuah pasukan NGO yang terdiri daripada anggota muda di Bukit Gantang bagi memikat pengundi generasi baru," katanya sambil menegaskan bahawa parti itu akan memberi tumpuan kepada pengundi dari golongan muda.

Bekas Menteri Kerja Raya itu juga berkata MIC tidak akan berbalah dengan mana-mana parti komponen BN mengenai calon pilihan di Bukit Selambau yang secara tradisi ditandingi oleh calon MIC.

"Keutamaan kami adalah memastikan BN merampas semula kedua-dua kerusi itu," katanya sambil menyifatkan usaha itu seperti "mendaki sebuah bukit dan dengan persiapan awal, sudah pasti ada kejayaan."

Tiada ulasan: