Basiron Abdul Wahab
TEMERLOH - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yakin PAS/Pakatan rakyat akan mempertahankan kedua-dua kerusi Parlimen Bukit Gantang dan Dun Bukit Selambau dalam pilihan raya kecil 7 April nanti dengan majoriti yang bertambah.
Bercakap kepada media Haji Hadi berkata, PAS akan menangani kemelut politik negara secara demokrasi daripada terus dipermainkan Umno-BN.
"Kita yakin sokongan rakyat kepada PAS dalam pilihan raya umum 2008 lalu tidak akan berubah dan akan terus menyokong PAS di samping penambahan sokongan daripada masyarakat Cina dan India, rakyat akan menghukum Umno-BN.
"PAS akan mempertahankan undi Melayu undi yang sedia ada di kawasan yang PAS tandingi," ujarnya selepas menutup Expo Penerangan PAS Kawasan Temerloh.
Beliau membidas Umno dan menyifatkanya sebagai parti yang tidak mampu mengurus diri sendiri dengan pelbagai skandal politik wang dalam menentukan pemimpin parti di semua peringkat.
Menjawab pertanyaaan wartawan mengenai cadangan ahli akedemik supaya PAS-Umno mewujudkan persefahaman politik, Abdul Hadi menolak persefahaman politik dengan parti yang tidak menghormati undang-undang.
"Kita boleh membuat persefahaman dengan parti yang menghormati undang-undang tetapi Umno tidak menghormati undang-undang dan ia dapat dilihat daripada tindak-tanduk Umno sendiri," tegasnya.
Sebelum itu dalam ucapan beliau, Haji Hadi berkata, PAS selamat daripada wabak politik wang seperti yang melanda Umno dan PAS berjaya melahirkan wakil rakyat yang konsisten mempertahankan dasar perjuangan sejak 50 tahun lalu.
PAS juga katanya berjaya memecah tembok antara Islam dengan bukan Islam serta memecahkan fahaman politik yang memisahkan agama dan politik yang dibawa Umno/BN.
Dalam ucapan sama beliau memuji program exspo penerangan yang diadakan kerana bertepatan dengan isu yang sedang melanda dan rakyat memerlukan penjelasan daripada PAS.
Penerangan katanya, mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memperjelaskan kepada rakyat mengenai isu-isu semasa dan tanggung jawab peneranganlah memperjelaskan kepada orang ramai dalam bahasa yang difahami masyarakat. - mns_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan