Selasa, 3 Februari 2009

Mesyuarat tergempar Pakatan Perak malam ini

Jimadie Shah Othman


Kesemua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat di Perak akan menghadiri mesyuarat tergempar malam ini bagi membincangkan tindakan selanjut berhubung isu membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu.

Hari ini, Jamaluddin dan Osman dilaporkan telah keluar PKR dan menjadi wakil rakyat bebas.

Seorang Adun PKR memberitahu Malaysiakini, pertemuan 30 wakil rakyat Pakatan itu akan turut melibatkan pemimpin ketiga-tiga parti gabungan dalam Pakatan di negeri itu.

Pertemuan itu akan diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin di Ipoh jam 8 malam ini.

Jamaluddin dan Osman yang juga exco kerajaan negeri, sehingga hari ini belum muncul di khalayak selepas cuti sakit sejak pertengahan minggu lalu.

Tanpa kedua-dua Adun itu, Pakatan kini mempunyai 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala BN mempunyai 27 kerusi.

Sementara itu, seorang lagi exco Perak mewakili PKR, Tai Sing Ng berkata, kerajaan negeri belum menerima surat peletakan jawatan dari Jamaluddin dan Osman sebagai exco kerajaan negeri.

Ketika dihubungi Malaysiakini, beliau berkata, jika ingin keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas, mereka hendaklah melepaskan jawatan exco.

Tidak hadir di pejabat

Jamaluddin memegang portfolio pembangunan usahawan dan koperasi, pertanian dan perdagangan; manakala Mohd Osman pula bertindak sebagai exco pelancongan, pembangunan insan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Tai berkata demikian ketika mengulas pendirian Jamaluddin dan Osman yang dilaporkan keluar PKR dan menjadi wakil rakyat bebas hari ini.

Ditanya sehingga petang ini sama ada pihaknya dapat menghubungi kedua-dua exco berkenaan, Tai menjawab tidak.

Menurutnya, kedua exco terbabit juga tidak datang ke pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak hari ini.

Kenyataan ini disokong dua lagi Adun PKR Abdul Yunus Jamahri (Kuala Kurau) dan Chang Lih Kang (Teja).

Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim sebelum ini dilaporkan menolak spekulasi bahawa Jamaluddin dan Osman telah keluar daripada parti itu.

Katanya, parti itu tidak menerima sebarang surat mengenai peletakan jawatan mereka dan tiada rekod mengatakan kedua-dua Adun itu masuk parti lain.

Tiada ulasan: