Khamis, 19 Februari 2009

Elizabeth Wong: PAS Selangor simpati, beri sokongan padu

Muhammad Arif Ismail


SHAH ALAM - PAS Selangor melalui Pesuruhjayanya Dato' Dr. Hasan Ali memberi sokongan padu kepada Exco Kerajaan Negeri, Elizabeth Wong dalam usaha untuk membersihkan nama baik beliau

"Apa yang berlaku kepada Elizabeth Wong, PAS sangat bersimpati sama juga dengan rakan-rakan yang lain dalam Pakatan Rakyat.

"Kita juga sangat mengalu-alukan siasatan yang dibuat oleh pihak polis dan kita juga mengharapkan mereka dapat melakukan dalam keadaan mesra," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri petang semalam.

Hadir sama dalam sidang media itu beberapa orang Exco kerajaan Negeri seperti Dr. Halimah Ali, Iskandar Samad, Teresa Kok, Xavier Jayakumar, Rodziah Ismail dan Ronnie Liu.

Menurut Hasan, pihak polis diharapkan melakukan tugas mereka itu dengan sikap profesional yang tinggi.

"Kita juga mementingkan persoalan mengenai imej, keutuhan dan integriti kerajaan Pakatan Rakyat sebab itu persoalan moral ini bagi kita juga merupakan perkara yang sangat penting," katanya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam,

Oleh itu katanya, PAS berpendapat bahawa apa yang berlaku itu merupakan sesuatu yang mendukacitakan kita dan akan berusaha dengan teman-teman yang lain dalam Pakatan Rakyat.

"Kita dalam Pakatan Rakyat pun, mencari apakah yang terbaik untuk membersihkan nama beliau dan beliau akan pulang ke sisi pangkuan kita.

"Sebagaimana yang kita tahu, Elizabeth Wong merupakan di antara pemangkin untuk memperkuatkan kedudukan Exco dan pembangunan Negeri Selangor," jelasnya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan dalam sidang media yang sama bahawa satu perjumpaan dengan Tuanku Sultan pada Rabu ini, 25 Februari.

"Pertemuan ini bagi taklimat tentang isu yang berkaitan dengan Exco Kerajaan Negeri untuk mendapat nasihat dan panduan perkenan Tuanku," jelas beliau.

Menurut Menteri Besar, Kerajaan Negeri berharap agar pertemuan ini akan membuahkan hasil yang terbaik untuk negeri Selangor.

"Manakala keputusan yang dibuat oleh Elizabeth Wong akan bercuti dan tugasnya akan dipertanggungjawab dan dilaksanakan oleh semua Exco," katanya. - azm/mks.

Tiada ulasan: