BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersetuju dan menyokong usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) mewujudkan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini bagi kemudahan jemaah haji di ketigatiga negeri di Pantai Timur.
Hadi yang juga anggota Parlimen Marang berkata dengan adanya lapangan terbang itu, penduduk di negeri ini tidak lagi perlu bersusah payah memandu ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sebaliknya boleh menaiki kapal terbang secara terus ke Jeddah.
"Kita sokong pembinaan lapangan terbang itu. Orang tak payah dah pergi ke Kuala Lumpur (KLIA). Boleh terus naik dari sini terus ke Mekah. Ini memudahkan jemaah haji di Terengganu, Kelatan dan Pahang," katanya pada sesi ceramah PAS di Kampung Tok Nasek di sini.
Penerbangan terus ke tanah suci bermula tahun lepas, setelah kerajaan Terengganu menaiktaraf LTSM itu membabitkan kos RM400 juta, bagi membolehkan pesawat Boeing 747 mendarat di situ sejak September lepas.
Projek pembinaan LTSM itu, dimulakan sebaik sahaja BN mengambil alih tampuk pemerintahan daripada PAS pada 2004.
Pada musim haji lepas, sebanyak 18 penerbangan terus pergi dan balik dari LTSMJeddah, membawa lebih 5,000 jemaah haji dari Pantai Timur.
Bagaimanapun, Hadi mempersoalkan kos pembinaan lapangan terbang itu yang didakwanya menggunakan sumber kewangan kerajaan negeri.
"Yang kita persoalkan kenapa kos pembinaan lapangan terbang itu ditanggung oleh kerajaan negeri. Sepatutnya ditanggung kerajaan pusat," katanya.
Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dan Azharudin Mamat atau Adam, Bebas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 Jan ini sebagai hari pengundian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan