Jumaat, 9 Januari 2009

Mahathir: Pilihan raya kecil tidak penting, pengundi pula dilema

Oleh G.MANIMARAN


KUALA TERENGGANU: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang menjelaskan beliau masih belum berparti berkata, pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu tidak wajar dianggap sebagai pertarungan yang penting manakala pengundi pula berada dalam dilema.

"Pilihan raya kecil di Kuala Terengganu ini sepatutnya tidak dianggap penting... sama ada Barisan Nasional (BN) menang atau kalah, Kerajaan Terengganu tak akan berubah," kata beliau dalam tulisan terbaru blognya.

Kata Dr. Mahathir, dalam pilihan raya kecil ini pengundi-pengundi Kuala Terengganu berhadapan dengan dilema.

"PAS pun bukan pilihan yang baik, Umno pun bukan pilihan yang baik... telan mati Mak, luah mati Pak," katanya.

Oleh itu, jelas beliau, kemungkinan calon Bebas akan mendapat undi yang lebih dari sepatutnya.

Pilihan raya kecil itu melibatkan pertandingan antara calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Mohd Abdul Wahid Endut dari PAS dan calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam.

Dalam ulasan kedua mengenai pilihan raya kecil kali ini, bekas Presiden Umno itu berkata, "pada pandangan saya PAS atau Umno pada waktu ini sama sahaja."

Katanya lagi, PAS bukan alternatif kerana dilihat ia sanggup membelakangkan prinsip-prinsipnya kerana nak jaga hati parti komponen Pakatan (Rakyat)."

"Orang yang tidak pegang kepada prinsip tidak boleh dipercayai. Sebagai contoh PAS bersetuju babi diternak di kampung Melayu kerana larangan agama hanya untuk tidak makan daging babi," katanya lagi.

Malah, kata beliau, "demikian juga PAS sanggup beri hak milik tanah secara berkekalan untuk mendapat sokongan orang Cina."

Jelas Dr. Mahathir, dasar negara sekarang tanah tidak boleh diberi kepada sesiapa pun secara berkekalan sama ada Cina, Melayu atau India.

Bagaimanapun, kata beliau lagi, PAS sanggup membelakangkan dasar negara hanya untuk mendapat sokongan orang Cina.

"British tidak pernah beri kawasan kampung baru kepada setinggan yang ditempatkan di situ.

"Tidak ada geran yang dikeluarkan oleh British kepada penduduk kampung baru. Tetapi pemimpin PAS sanggup bohong kononnya British memberi tanah secara berkekalan kepada setinggan Cina," katanya lagi.

Dr. Mahathir menambah, pendekatan itu menunjukkan PAS bukan parti yang berprinsip dan bukan pun ikhlas dalam memperjuangkan Islam.

"PAS tidak boleh dipercayai oleh sesiapa. Ia sanggup "bend backwards" untuk kepentingan politik semasa," tulis beliau lagi.

Dalam pada itu, katanya, Umno pula tidak tahu memilih calon untuk mempertahankan kerusi Kuala Terengganu ini.

"Yang dipilih ialah bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Wan Ahmad Farid). Jelas pilihan calon Umno tidak memperdulikan sentimen rakyat.

"Dan, calon ini pula terkenal sebagai seorang yang sombong, tidak tahu beramah mesra dengan orang," katanya.

Tiada ulasan: