Mufti Perlis tegur Abdullah kalung bunga di Tugu Negara
Oleh Mstar
PERBUATAN bertafakur, meletakkan kalungan bunga atau tabik hormat yang dilakukan untuk Tugu Negara adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip akidah Islam yang anti kepada sebarang unsur keberhalaan.
Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin membuat kenyataan ini ketika mengulas tentang istiadat meletak kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara sempena sambutan Hari Pahlawan semalam yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Abdullah memulakan upacara meletakkan kalungan bunga itu, diikuti Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.
Terdahulu, Abdullah menerima tabik hormat dan memeriksa kawalan penghormatan membabitkan 103 anggota dan pegawai Askar Melayu Diraja.
“Perbuatan mana-mana individu muslim sama ada pemimpin atau rakyat yang meletakkan kalungan bunga, tabik hormat dan bertafakur yang dilakukan untuk Tugu Negara adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip akidah Islam yang anti kepada sebarang unsur keberhalaan," jelas Dr Asri.
Kata beliau lagi, perbuatan seperti itu seakan menjadikan tugu berkenaan berhala yang dihormati.
"Sekiranya pun pelakunya tidak mempunyai sebarang iktikad bahawa itu semua memberi manfaat dan mudarat, maka perbuatan itu adalah sia-sia dan bodoh. Ia tetap haram kerana meniru perbuatan musyrikin," jelas Dr Asri.
Menurut Dr Asri, jika pelaku beriktikad itu memberikan kemanfaatan kepada keamanan, kedamaian ruh mereka yang telah meninggal dunia, maka itu adalah perbuatan syirik yang jelas.
"Akidah Islam menentang sebarang unsur keberhalaan. Pemimpin atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam perbuatan ini hendaklah bertaubat kepada Allah dan kembali kepada akidah Islam yang sebenar," katanya.
Firman Allah: (maksudnya) “Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Ibrahim sebelum itu jalan yang benar (dalam bertauhid), dan Kami mengetahui akan halnya. Ketika dia berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Apakah patung-patung ini yang kamu berdiri di hadapannya (memujanya)? Mereka menjawab: “Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya. Ibrahim berkata: “Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu adalah dalam kesesatan yang nyata”. (Surah al-Anbiya 50-54)”
Perbuatan menyempurnakan istiadat meletak kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara ini juga difahamkan melanggar Fatwa Mufti (Edisi 2008).
Di bawah SubSeksyen 36(1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 setelah diluluskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak mengikut SubSeksyen 39(6) Enakmen menyatakan, " Meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara sempena upacara sambutan Hari Pahlawan dan upacara-upacara lain adalah haram dan hendaklah ditinggalkan"
1 ulasan:
Baguslah, beliau berani menyatakan kebenaran, ketika mufti lain dan begitu ramai"ulamak" lain hanya mendiamkan diri.
Catat Ulasan