Sabtu, 1 Ogos 2020

Bapa saudara durjana

Dziyaul Afnan Abdul Rahman

GAMBAR hiasan

POLIS menahan penoreh getah selepas disyaki mencabul anak saudara perempuannya di Arau, semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, kejadian itu disedari ahli keluarga mangsa selepas lelaki berusia 57 tahun itu memuat naik gambar anak saudaranya berusia sembilan tahun yang tidak berpakaian pada WhatsApp, 12 tengah hari semalam.

Menurutnya, menyedari perbuatan itu ahli keluarga terbabit membuat laporan polis dan suspek ditahan petang semalam.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek telah ke rumah mangsa pada Isnin lalu ketika mangsa berseorangan dan membuka pakaian mangsa sebelum melakukan perbuatan mencabul.

"Suspek juga meminta mangsa memegang kemaluannya sebelum mengambil gambar mangsa yang tidak berpakaian menerusi telefon bimbitnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nanda berkata, bagaimanapun suspek tidak merogol mangsa dan terus beredar sejurus selesai menangkap gambar kanak-kanak terbabit.

"Pihak polis sudah menangkap suspek dan pemeriksaan di dalam telefon bimbitnya menemui sejumlah gambar mangsa yang tidak berpakaian.

"Suspek direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5 dan 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.

Tiada ulasan: