Sabtu, 11 Julai 2020

Jadual Pentaksiran Pusat Perlu Ikut Takwim Peperiksaan KPM – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Pihak pentadbir sekolah perlu menyusun jadual pentaksiran pusat mengikut kesesuaian berdasarkan takwim peperiksaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata perkara itu antara kandungan Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran yang telah dipersetujui semasa dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

“Guru juga perlu merancang pelaksanaan pentaksiran pusat berdasarkan kesediaan murid untuk ditaksir dan menjadualkan semula pentaksiran jika terdapat murid yang bergejala.

“Mereka juga perlu memberi penekanan kepada aspek penjarakan sosial, kebersihan dan keselamatan semasa proses pentaksiran dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Bagi pengendalian peperiksaan awam pula, Ismail Sabri berkata perkara itu perlu mengambil kira pertambahan bilangan bilik yang digunakan untuk peperiksaan apabila penjarakan sosial dilaksanakan.

Katanya jika terdapat calon yang bergejala serius, pihak sekolah perlu menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi mendapatkan nasihat untuk tindakan selanjutnya serta memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga.

“Ketua Pengawas Peperiksaan perlu memastikan semua urusan pengendalian peperiksaan awam di pusat peperiksaan dan di luar pusat peperiksaan mengambil kira penjarakan sosial, kebersihan dan keselamatan,” katanya.

Berhubung kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Ismail Sabri berkata polis telah menahan dan mengeluarkan kompaun terhadap 36 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti yang melanggar SOP.  

Katanya sebanyak 2,630 pasukan pematuhan melibatkan 12,396 anggota telah membuat pemantauan di 3,949 pasar raya, 5,673 restoran serta 1,977 penjaja, 1,159 kilang, 3,718 bank dan 901 pejabat kerajaan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sebanyak 68 sekatan jalan raya Operasi Benteng telah dijalankan di seluruh negara dan 32,106 kenderaan turut diperiksa bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin terutamanya di lorong-lorong tikus.

Seorang warganegara asing juga berjaya ditahan kerana kesalahan imigresen. Beliau berkata polis turut menjalankan pemantauan terhadap pematuhan SOP solat Jumaat ke atas 2,507 buah masjid yang melibatkan 287,296 jemaah dan didapati bilangan jemaah mengikut kapasiti masjid serta mematuhi SOP yang telah ditetapkan

Selain itu, katanya seramai 609 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 semalam, dan daripada jumlah itu, seorang telah dibawa ke hospital manakala selebihnya diperintah menjalani kuarantin wajib di kediaman mereka.- BERNAMA

Tiada ulasan: