Selasa, 5 November 2019

Ucapan saya bukan rasis, tapi satu peringatan, kata Salahuddin

Salahuddin Ayub mencabar Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi 
Dusuki tidak berdiam diri apabila isu agama membabitkan soal 
syurga dan neraka dimainkan.
 
KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub mempertahankan ucapannya pada kempen Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai yang didakwa parti pembangkang berbaur rasis, dengan berkata ia adalah peringatan kepada semua pihak untuk terus memelihara keharmonian dan keselamatan negara.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, semua pihak perlu mengelakkan kenyataan berbaur perkauman kerana beliau bimbang nasib Malaysia akan sama dengan Yaman dan Syria yang kini berdepan peperangan.

“Apabila berlakunya pertembungan ataupun isu-isu kaum dan agama dimainkan secara melampau, huru-hara dan pembunuhan (akan berlaku) dan rakyat tidak dapat lagi menikmati kehidupan dengan lebih baik.

“Saya ingin mengingatkan jangan kita mengeluarkan kenyataan sebagaimana saya maksudkan melalui ucapan-ucapan yang begitu rasis dan kadang-kadang berlakunya ucapan agama yang begitu melampau,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Pemuda Umno yang mengkritik Salahuddin, menyifatkan kenyataannya rasis dan cauvinis.

Salahuddin didakwa membuat kenyataan itu dalam satu perjumpaan tertutup dengan pengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Chio di Kukup Laut semalam, di mana klip video didakwa ucapan itu menunjukkan beliau berkata, Malaysia akan menjadi huru-hara jika Barisan Nasional kembali berkuasa, dengan tembakan dan kebakaran berlaku di merata tempat.

Gesa SPR siasat Salahuddin

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Terap, Mahdzir Khalid berkata, menteri tidak patut membuat kenyataan sedemikian dan Suruhanjaya Pilihan Raya perlu menyiasatnya.

“Dia menggambarkan suasana yang cukup rasis, sekiranya Umno dan PAS menjadi kerajaan suatu hari nanti, negara ini huru-hara, negara ini ada pembunuhan…bagaimana seorang menteri turun berkempen, saya tak tahu.

“Kita minta SPR atau jawatankuasa pemantau lihat perkara ini. Ini serius, menuduh dua parti politik kononnya satu hari nanti mereka jadi kerajaan boleh jadi huru-hara, bunuh orang. Dia menakut-nakutkan masyarakat,” katanya di lobi Parlimen hari ini. 

Isu kafir

Salahuddin mempertikaikan ceramah Barisan Nasional di Tanjung Piai yang menyentuh isu kafir-mengkafir.

“Ada penceramah di markas atau bilik gerakan BN mengatakan calon yang kita sokong ini ialah MCA, ini kafir zimmi dan menuduh pula orang bukan Islam di pihak lain kafir harbi. Adakah kita suka dengan ucapan itu?

“Saya nak tanya (Calon BN) Wee Jeck Seng, adakah dia gembira dengan kenyataan sebegitu? Kafir sana kafir sini, zimmi harbi?

“Jadi, itu yang saya ingatkan jangan ada ucapan seperti ini bermain dalam negara kita yang akhirnya menyebabkan negara kita tidak lagi aman dan timbulnya isu takfiri yang akan menjahanamkan sebahagian besar negara Islam di Timur Tengah,” katanya sambil mendakwa ada parti mendakwa jika tidak bersama kumpulan itu, mereka tidak akan masuk syurga.

Isu syurga neraka

Salahuddin turut mencabar Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki tidak berdiam diri apabila isu agama membabitkan soal syurga dan neraka dimainkan.

“Macam Asyraf Wajdi dia cabar saya, dia jangan lupa gologan agamawan yang melampau telah mencipta ideologi ini. Dalam negara ini, adakah dia berdiam diri? Saya nak cabar dia hari ini mengawasi kuliah agama jika ada memainkan ucapan melampau.”

Timbalan presiden Amanah itu berkata, bekas perdana menteri, Najib Razak dan pemimpin Umno juga tidak pernah memohon maaf atas kenyataan berbaur perkauman yang dimainkan mereka.

“Beberapa bulan menjelang Operasi Lalang 1987, Pemuda Umno yang dipimpin Najib berucap basahkan keris dengan darah Cina.

“Dia tidak pernah minta maaf sehingga beliau menjadi perdana menteri dan banyak lagi pemimpin Umno yang berucap, kita bawa mancis, kita bakar kedai Cina di Kuala Lumpur, mereka ada di Parlimen hari ini dan mereka tidak pernah minta maaf.”

Tiada ulasan: