Ahad, 3 November 2019

Tengkujuh: APMM larang nelayan Vietnam hampiri pulau di Terengganu

Bot nelayan asing akan mendekati pulau di perairan Terengganu, 
termasuk Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau Bidong dan 
Pulau Tenggol pada musim tengkujuh untuk ‘berlindung’. (Gambar 
Bernama )
 
KUALA TERENGGANU: Nelayan Vietnam diberi amaran supaya tidak menjadikan musim tengkujuh sebagai alasan untuk mereka berlindung di pulau sekitar Terengganu.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, mereka sering menggunakan alasan sama saban tahun sedangkan hakikatnya mengambil kesempatan dan giat menangkap ikan tanpa kebenaran di kawasan tersebut.

“Lazimnya di Terengganu, bot nelayan asing akan mendekati pulau di perairan, termasuk Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau Bidong dan Pulau Tenggol.

“Mereka ini akan bersauh di sekitar pulau tersebut dan bertindak menangkap ikan berhampiran kawasan darat (kawasan tepi pulau) ketika musim tengkujuh,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Tegasnya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bukan sahaja tidak terpedaya dengan taktik sedemikian, malah akan mengambil tindakan tegas serta menangkap mereka sekiranya didapati menceroboh perairan negara.

Selain itu, Rashidilhadi juga berkata pihaknya menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang berlabuh pada jarak 43 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, Jumaat lepas.

Katanya, bot tersebut ditahan pada pukul 2.30 petang oleh kapal Maritim KM Segantang ketika sedang melakukan rondaan Ops Naga.

“Bot tersebut dipercayai melakukan aktiviti pengumpulan hasil tangkapan laut daripada bot nelayan Vietnam yang lain. Ketika ditahan bot itu tidak menangkap ikan, tetapi agak meragukan apabila terdapat kira-kira lima tan ikan campur di dalam kotak penyimpanan ikan bot terbabit.

“Kita turut menemui sebanyak 2,000 liter minyak diesel. Ini adalah tangkapan kedua Maritim di Pantai Timur yang mana bot berkenaan disyaki bersubahat bersama bot Vietnam yang lain dengan cara membeli hasil tangkapan untuk dibawa balik ke negara mereka,” katanya.

Hasil pemeriksaan tersebut seramai 15 awak-awak, termasuk tekong, berusia lingkungan 31 hingga 49 tahun ditahan kerana tidak memiliki dokumen yang sah dan dokumen bot meragukan.

Rashidilhadi berkata, beliau tidak menolak kemungkinan terdapatnya bot nelayan tempatan yang menjual hasil tangkapan kepada bot berkenaan bagi mendapatkan pulangan lebih tinggi.

“Ikan di negara kita adalah gred A dan berkualiti tinggi. Harganya lebih mahal di pasaran luar dan jika dibawa masuk ke pasaran kita nilainya lebih rendah,” katanya.

Tiada ulasan: