Ahad, 3 November 2019

Sumbat 10 PATI dalam Proton Exora

Izlaily Nurul Ain Hussein
 
 

TINDAKAN pemandu Proton Exora yang enggan memberhentikan kenderaan sebaik diarahkan polis, sebaliknya memecut laju cuba melarikan diri membongkar kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia.

Semuanya bermula kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi di Jalan Skudai berhadapan sebuah pusat beli-belah, selepas kenderaan dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

Enggan mematuhi arahan polis, kenderaan itu kemudian dipecut laju dan dipandu agresif, memaksa anggota polis menghubungi bilik gerakan untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, lima unit kereta peronda (MPV) polis kemudian mengejar kenderaan terbabit sehingga ke Jalan Senai Utama 3, Taman Senai Utama, Kulai.

“Tiba di lokasi, Proton Exora dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun terbabas dan melanggar MPV yang mengejarnya menyebabkan kenderaan polis itu rosak di bahagian pintu hadapan dan belakang sebelah kiri.

“Apabila kenderaan terhenti, pemandunya melarikan diri ke dalam semak berdekatan, bagaimanapun berjaya ditahan polis.

“Hasil pemeriksaan kenderaan dipandu lelaki itu membawa penemuan 10 PATI terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun,” katanya.

Mohd Taib berkata, semua PATI itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

Katanya, pemandu kenderaan berasal dari Rantau Panjang, Kelantan tidak mempunyai rekod jenayah lampau atau dikehendaki polis.

“Semua tangkapan dibawa pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurut Mohd Taib, selain kenderaan itu, pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit dan kunci.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kita juga menyiasat kes mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tiada ulasan: