Sabtu, 2 November 2019

KDN akan buka laluan khas pengundi Tg Piai kerja di Singapura

Calon PH, Karmaine Sardini (7 dari kiri) bergambar dengan 
pimpinan tertinggi parti selepas menghantar borang pencalonan.
 
PONTIAN: Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata laluan khas akan diberikan kepada pengundi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang bekerja di Singapura untuk pulang mengundi pada 16 Nov depan.

Muhyiddin yang juga presiden PPBM berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Jabatan Imigresen untuk menyediakan laluan di Tambak Johor bagi memudahkan pengundi pulang mengundi.

“Saya sebagai menteri bertanggungjawab untuk membantu melicinkan perjalanan di Tambak Johor telah bincang dengan Imigresen.

“Kalau mereka menunjukkan mereka penduduk Pontian dan nak mengundi, kita akan sediakan laluan khas agar cepat sampai sebelum waktu penamat pada 16 November,” katanya pada sidang media selepas pengumuman calon di Dewan Jubli Intan.

Muhyiddin berkata laluan itu akan dibuka bermula tengah malam sebelum 16 November hingga petang pada hari mengundi.

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertarungan enam penjuru bagi merebut kerusi Parlimen itu selepas calon dari Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan dua bebas mengesahkan pencalonan mereka.

Mereka yang bertanding ialah Wee Jeck Seng, Karmaine Sardini, Wendy Subramaniam, Badhrulhisham Abdul Aziz, Ang Uan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Tiada ulasan: