Sabtu, 2 November 2019

Calon BN fokus kempen isu hidup harian rakyat di Tg Piai

Calon BN-MCA bagi PRK Tanjung Piai Wee Jeck Seng.
 
PONTIAN: Calon BN-MCA bagi pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai Wee Jeck Seng berkata, beliau akan memberi tumpuan kepada kempen berkaitan isu kehidupan harian rakyat yang menjadi kebimbangan penduduk setempat dalam usaha merampas semula kerusi Parlimen itu.

Beliau berkata, walaupun tewas kerusi itu di tangan calon PPBM-PH Dr Md Farid Md Rafik pada pilihan raya umum tahun lepas, beliau masih berhubung dengan penduduk di kawasan itu.

“Kami menerima banyak aduan daripada penduduk berhubung rasa tida puas hati mereka terhadap dasar kerajaan dan peningkatan kos hidup.

“Kami melihat (PRK) ini sebagai peluang untuk bersuara di Dewan Rakyat dan menjalankan tugas memantau kerajaan hari ini dalam menunaikan janjinya dalam pilihan raya umum lepas,” katanya pada satu sidang media selepas mengemukakan kertas pencalonan beliau.

Wee berkata, beliau sedar tentang peranannya sebagai wakil rakyat, sama ada sebagai anggota kerajaan yang memerintah atau ahli pembangkang.

“Peranan saya ialah bersuara bagi pihak rakyat tentang perkara yang tidak menggembirakan mereka,” katanya.

Wee, bekas seorang timbalan mnteri, merupakan wakil rakyat Tanjung Piai selama dua penggal dari 2008 hingga 2018.

Wee bakal berdepan cabaran daripada calon PPBM-PH Karmaine Sardini, Wendy Subramaniam (Gerakan), Badrulhisham Abd Aziz, serta dua calon Bebas, Faridah Aryani Abdul Ghaffar dan aung Uan Lock.

Dalam pada itu, pengerusi BN Johor Hasmi Mohammad berkata, gabungan pembangkang bersedia untuk menghadapi PRK itu kerana mereka telah pun menjalankan kajian di peringkat akar umbi.

“Kami tidak akan memandang mudah kempen ini dan semua dalam BN akan berusaha menemui setiap seorang pengundi Tanjung Piai.

“Datuk Seri (Wee) juga adalah pemimpin yang berpengalaman dan orang tempatan di sini,” kata beliau.

“Tiada orang yang lain yang lebih sesuai bertanding di Tanjung Piai ini berbanding beliau,” katanya.
PRK Tanjung Piai bakal berlangsung pada 16 Nov depan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka peratus keluar mengundi 70 peratus, selain membuat persiapan sekiranya berlaku banjir.

Tiada ulasan: