Sabtu, 30 November 2019

Beberapa individu beri keterangan kes abu mayat Chin Peng

Kumpulan yang terbabit dalam urusan membawa balik abu mayat 
Chin Peng bergambar bersama selepas menabur abu mayat 
bekas pemimpin PKM itu di laut dan hutan di Perak pada September 
lalu. (Gambar Facebook)
 
IPOH: Beberapa individu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh hari ini dipercayai bagi membantu siasatan kes membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke Malaysia.

Mereka dilihat memasuki perkarangan IPD pada 2.50 petang, sebelum seorang daripadanya yang dikenali sebagai Thong Yee, 82, keluar pada 4.30 petang.

Thong berkata, beliau hadir untuk memberi keterangan selepas dihubungi polis semalam.

“Saya hadir bersama 4 lagi rakan dan polis menyoal mengenai kehadiran kami pada majlis peringatan yang diadakan pada 16 Sept lepas,” katanya kepada pemberita di sini.

Thong yang tinggal di Ipoh berkata, polis mengambil sejam 30 minit untuk merakam keterangannya.

Tinjauan Bernama mendapati seorang lagi individu, iaitu Chai Kan Fook, 81, yang dipercayai terlibat dalam urusan membawa pulang abu Chin Peng, turut hadir bagi memberi keterangan.

Difahamkan, Chai sudah memberi keterangan semalam dan datang semula kira-kira 10 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, A Asmadi Abdul Aziz berkata, kes itu disiasat anggota Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Semalam, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, pihaknya memanggil 2 individu untuk memberi keterangan berkaitan kes itu.

Media sebelum ini melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa pulang ke Malaysia pada 16 Sept lepas dan ditabur ke laut berhampiran Lumut serta hutan di banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.Abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilaporkan tiba di Ipoh pada 16 Sept lepas dan satu majlis peringatan diadakan pada hari sama dengan dihadiri 150 individu.

Chin Peng yang lahir di Sitiawan dekat sini, meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada 2013.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia.


Tiada ulasan: