Jumaat, 11 Oktober 2019

Putra Melaka buat laporan polis, desak Exco, ADUN DAP letak jawatan

Manzaidi Mohd Amin

putrapolis
Dr. Aluwi (dua dari kanan) dan Raman (tengah) bersama tiga sayap Putra Melaka membuat laporan polis di IPD Alor Gajah malam tadi.


KUALA LUMPUR – Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) membuat laporan polis ke atas Exco Kerajaan Melaka, G. Saminathan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaren kerana dipercayai terlibat dengan kumpulan pemisah Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Laporan itu dibuat Ketua penaja Bahagian Putra Alor Gajah, Raman Jaafar bersama Ketua Wirawati negeri, Ketua Wira dan Ketua Wiranita kira-kira jam 8.30 malam tadi di Balai Polis Daerah Alor Gajah.

Menurut Raman, G. Saminathan yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna negeri yang memenangi PRU14 atas tiket DAP didapati aktif bersama LTTE.

Wakil rakyat itu, katanya, dikatakan bersama rakannya telah menganjurkan beberapa progam di Melaka November tahun lalu dengan menyatakan sokongan mereka kepada pengganas LTTE.

Sementara itu, Ketua Penyelaras Putra Melaka, Dr. Aluwi Sari dalam kenyataan kepada Malaysia Gazette hari ini, berharap G. Saminathan didakwa dan diambil tindakan ke mahkamah dan tidak boleh dijamin oleh sesiapa kerana melibatkan Jenayah dan ancaman keselamatan dalam negara khasnya di Melaka.

“Putra Melaka mendesak G. Saminathan meletakkan jawatan sebagai ADUN Gadek dalam tempoh 24 jam kerana ianya terlibat secara terus dengan jenayah LTTE.

“Kita juga berharap polis dan Peguam Negara turut menangkap Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan penganas dan pengasas LTTE di India,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya polis dan Peguam Negara tidak mengambil tindakan drastik ke atas ADUN DAP yang ditangkap itu, Putra Melaka berpendapat tangkapan itu sekadar lakonan sahaja. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: