Khamis, 20 Jun 2019

Murid, kakitangan 2 sekolah jadi mangsa pencemaran udara

Mohd Zaini Samsu Hadi
khuzzan
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan 
negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar
 
KUALA LUMPUR – Seramai 15 mangsa terdiri daripada 13 murid dan dua kakitangan sekolah dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru selepas dikesan menjadi mangsa pencemaran udara.

Kejadian dilaporkan berlaku di dua sekolah iaitu Sekolah Agama Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, bagaimanapun situasi di kawasan terlibat kini dalam keadaan terkawal dan selamat.

“Seramai15 mangsa yang terjejas dirawat di HSI. Mereka terdiri daripada 13 murid berusia antara 7 hingga 12 tahun dan dua kakitangan sekolah.

“Empat daripada mereka di rawat di Zon Merah, tiga di Zon Kuning manakala lapan yang lain di Zon Hijau,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam insiden petang tadi, penduduk di sekitar daerah terbabit dikejutkan dengan pencemaran udara terbaharu yang berlaku di dua sekolah berkenaan.

Mohd. Khuzzan berkata, bacaan kualiti udara yang dibuat di lokasi terlibat menunjukkan bacaan udara berada dalam paras yang baik.

“Insiden pencemaran yang berlaku hari ini berbeza sama sekali dengan insiden pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim. Punca sebenar kejadian ini sedang disiasat dan akan dimaklumkan kelak.

“Pihak berkuasa akan melakukan pemantauan udara secara berterusan sehingga Sabtu ini sebelum membuat sebarang keputusan lanjut,” ujarnya.

Tambahnhya, pada masa ini tiada keperluan untuk membuka bilik gerakan bencana ekoran situasi dilihat masih terkawal.

Pada Mac lalu, lebih 6,000 penduduk daerah ini terjejas ekoran berlaku kejadian pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim sehingga memaksa 111 buah sekolah di daerah terbabit ditutup. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: